PENYERANG baharu Borussia Dortmund, Sebastien Haller dikesan ada ketumbuhan pada buah zakarnya. FOTO AFP
PENYERANG baharu Borussia Dortmund, Sebastien Haller dikesan ada ketumbuhan pada buah zakarnya. FOTO AFP
AFP

Berlin: Borussia Dortmund berkata, penyerang, Sebastien Haller meninggalkan kem latihan pramusim di Switzerland selepas ketumbuhan ditemui di dalam buah zakarnya.

Haller yang juga penyerang Ivory Coast menyertai kelab Jerman itu, awal bulan ini, sebagai pengganti kepada Erling Haaland, yang berhijrah ke Manchester City.

"Selepas ujian intensif dijalankan, satu ketumbuhan akhirnya ditemui di bahagian buah zakar," kata Dortmund.

"Pada hari mendatang, ujian lanjut akan dilakukan di pusat perubatan pakar," kata kenyataan itu.

Dortmund membayar Ajax AS$31.5 juta (RM140.27 juta) untuk menyerang berusia 28 tahun itu yang menjaringkan 47 gol dalam 65 penampilan untuk kelab Belanda itu.

"Berita ini amat mengejutkan Sebastien Haller dan kami semua. Seluruh keluarga Borussia Dortmund mendoakan Sebastien pulih secepat mungkin supaya kami dapat memeluknya sekali lagi," kata pengarah sukan Dortmund, Sebastian Kehl dalam satu kenyataan.

"Kami akan lakukan apa sahaja bagi memastikan dia menerima rawatan terbaik," tambahnya.

Perlawanan pertama Dortmund dalam musim baharu Bundesliga ialah berdepan Bayer Leverkusen pada 6 Ogos, lapan hari selepas menentang pasukan divisyen ketiga, 1860 Munich pada pusingan pertama Piala Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 8:02 AM