KPAH Sherman (kanan) tekad buru gol berdepan bekas pasukannya, KDA FC. -FOTO TFC
KPAH Sherman (kanan) tekad buru gol berdepan bekas pasukannya, KDA FC. -FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang utama Terengganu FC (TFC), Kpah Sherman akui jaringannya ketika membantu pasukan TFC menumpaskan Sri Pahang FC, Ahad lalu menyuntik lagi semangatnya untuk memburu gol berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Piala FA pusingan kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok.

Beraksi di laman sendiri, penyerang kebangsaan Liberia berusia 30 tahun itu juga akui dia dan rakan sepasukannya bakal mendapat 'bantuan' daripada ribuan peminat setia TFC yang dijangka membanjiri stadium.

Bagaimanapun bekas penyerang skuad Helang Merah musim 2020 dan 2021 itu sedar bukan tugas mudah berdepan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak walaupun sedikit sebanyak taktikal pengendali kelahiran Singapura itu berada dalam koceknya.

"Kami beraksi dengan baik ketika berdepan Sri Pahang FC walaupun melakar kemenangan tipis 2-1, persefahaman antara kami pun bertambah baik, ianya bakal menjadi senjata kami berdepan bekas pasukan saya dan Kipre Tchetche.

"Lebih menambah semangat dan keazaman selepas saya berjaya menjaringkan gol ketika berdepan Sri Pahang FC ketika permainan mamasuki minit pertama, ianya bagus buat saya dan pasukan.

"Jadi saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menggalas cabaran itu dengan peragakan aksi terbaik lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri, saya harap ianya menjadi kenyataan untuk kami melangkah ke peringkat suku akhir," katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, kelmarin.

Ketika ditanya apa yang perlu dia dilakukan dan rakan sepasukannya berdepan dengan skuad Helang Merah itu, beliau menjelaskan setiap pemain perlu memperagakan aksi sebenar sebagai satu pasukan hingga ke minit terakhir perlawanan selain mengikut taktikal yang dirancang jurulatih.

"Sebarang kealpaan bakal mengundang padah, namun saya percaya rakan sepasukan pastinya hadir dengan semangat juang yang tinggi ditambah pula sorakan padu daripada peminat setia, saya harap kami mampu melangkah lebih jauh terutama musim pertama saya bersama TFC," katanya.

Berdasarkan rekod, kali terakhir skuad Terengganu menjulang trofi Piala FA pada 2011 selepas berjaya menumpaskan pasukan jiran, Kelantan 2-1 ketika dibimbing jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 2:27 PM