PAULO Dybala. FOTO Agensi
PAULO Dybala. FOTO Agensi
Agensi

London: Manchester United dilaporkan sedang bersaing dengan Arsenal untuk mendapatkan Paulo Dybala sebagai calon pengganti kepada Cristiano Ronaldo.

United digemparkan dengan permintaan bintang Portugal itu untuk meninggalkan kelab pada musim panas ini, kurang setahun selepas ikon menggunakan jersi nombor tujuh itu kembali ke United.

Pemain berusia 37 tahun dikatakan tidak sabar untuk meninggalkan United bagi memenuhi keinginannya beraksi di saingan utama termasuk Liga Juara-Juara pada musim depan, sesuatu yang tidak dapat ditawarkan oleh pasukan bimbingan Erik ten Hag.

Selepas mendahului Arsenal dalam perlumbaan untuk mendapatkan bintang Ajax, Lisandro Martinez, United kini tampak bersedia memberikan tamparan kali kedua kepada anak buah Mikel Arteta.

Gunners difahamkan sudah menghubungi bekas pemain Juventus, Dybala, tetapi Red Devils nampaknya mula mengintai pemain Argentina itu sebagai pengganti Ronaldo.

Menurut La Repubblica, dua kelab Liga Perdana itu sudah berhubung dengan ejen pemain itu, Jorge Antun ketika mereka berusaha untuk mendapatkannya secara percuma pada musim panas ini.

Pemain berusia 28 tahun itu baru-baru ini meninggalkan Juventus selepas kontraknya tamat dan rundingan lanjutan kontraknya tidak menjadi kenyataan.

Akhbar Itali mendakwa hasil perbincangan antara wakil Dybala dan dua pesaing Liga Perdana itu masih tidak diketahui, tetapi kedua-duanya jelas berminat untuk mendapatkannya.

Pemain antarabangsa Argentina itu juga difahamkan menarik perhatian trio Serie A, Inter Milan, AC Milan dan Napoli manakala kelab La Liga, Atletico Madrid dipercayai sedang bersaing untuk mendapatkan tandatangan penyerang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 11:14 AM