FERNANDINHO bangga menjadi sebahagian dari keluarga Manchester City. -FOTO Agensi
FERNANDINHO bangga menjadi sebahagian dari keluarga Manchester City. -FOTO Agensi
Agensi

London: Fernandinho menulis ucapan selamat tinggal yang puitis ditujukan kepada penyokong Manchester City di media sosial berikutan perpindahannya ke Athletico Paranaense.

Kelab dari Brazil, Paranaense pada Isnin lalu mengesahkan perjanjian persetujuan untuk kembali menandatangani Fernandinho yang sebelum ini pernah menghabiskan masa tiga tahun bersama kelab itu.

Bekas pemain antarabangsa Brazil yang membuat penampilan sebanyak 53 kali bersama skuad kebangsaan meninggalkan Paranaense pada 2005 untuk menyertai Shakhtar Donetsk sebelum menghabiskan masa sembilan musim bersama City dengan dua musim terakhir sebagai kapten pasukan.

Selepas membuat 383 penampilan bersama City dan memenangi 12 gelaran utama termasuk lima gelaran Liga Perdana, Fernandinho memutuskan untuk meninggalkan kelab itu selepas tamatnya musim 2021-22.

Pada hari terakhir kontraknya di Etihad Stadium tamat, Fernandinho menulis di laman sosial Twitter miliknya memberi penghormatan penuh emosi kepada semua yang terbabit dengan City.

"Saya melihat. Saya melihat keluarga saya berbangga. Saya melihat penyokong tidak pernah lupa dari mana mereka datang," katanya dalam satu surat terbuka.

"Saya melihat keindahan menjadi sebahagian daripada pasukan yang menang. Saya melihat gelaran, pemain bintang dan kebijaksanaan. Saya melihat peluang untuk memenuhi impian saya.

"Dan kemudian saya sedar. Saya menyedari kepentingan semua yang membaca surat ini. Saya sedar saya membuat pilihan yang tepat. Pilihan yang terbaik sepanjang hidup saya.

"Saya harap satu hari nanti apabila nada ingat saya, anda akan rasa perkara yang sama seperti yang saya rasa ketika saya menulis ini."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 7:56 AM