DANJUMA menjadi idaman beberapa kelab EPL selepas cemerlang dengan Villarreal. FOTP Agensi
DANJUMA menjadi idaman beberapa kelab EPL selepas cemerlang dengan Villarreal. FOTP Agensi
Agensi

London: West Ham United melaporkan bersedia untuk membelanjakan €36 juta (RM167 juta) untuk mendapatkan khidmat penyerang Villarreal, Arnaut Danjuma.

Menurut Relevo, West Ham kini sedang berunding dengan Villarreal berhubung perpindahan Danjuma pada jendela perpindahan sekarang.

Penyerang berbisa itu dilaporkan mempunyai klausa pelepasan bernilai €54 juta (RM251 juta), tetapi pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sanggup membayar yuran perpindahan sebanyak €36 juta.

Minat West Ham terhadap Danjuma bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana bekas bintang muda Bournemouth itu adalah antara pemain yang sedang meningkat naik dalam La Liga dan bola sepak Eropah musim lalu.

Sejak menyertai Villarreal pertengahan tahun lalu, penyerang Belanda itu menjaringkan 16 gol dan empat hantaran menghasilkan jaringan dalam hanya 34 penampilan kompetitif.

Enam daripada golnya adalah dalam Liga Juara-Juara dengan penyerang itu membantu Yellow Submarines mara ke separuh akhir pertandingan yang diimpikan setiap pasukan dan pemain.

Disebabkan kejayaannya di Villarreal, beberapa kelab di England menyatakan hasrat untuk membawanya kembali ke EPL.

Liverpool dianggap sebagai salah satu pencabar utama untuk merebutnya pada Januari lalu, tetapi langkah tidak menjadi kenyataan apabila gergasi Merseyside itu akhirnya menyambar Luiz Diaz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 1:15 PM