ANTARA perkara yang disuarakan oleh penyokong adalah membabitkan aksi longlai skuad Tok Gajah walaupun dibarisi pemain berpengalaman. FOTO Ihsan Facebook Setia Bersama Pahang
ANTARA perkara yang disuarakan oleh penyokong adalah membabitkan aksi longlai skuad Tok Gajah walaupun dibarisi pemain berpengalaman. FOTO Ihsan Facebook Setia Bersama Pahang
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Mungkin tidak tahan lagi melihat pasukan kesayangan beraksi dengan buruk menyebabkan penyokong Sri Pahang FC bertindak nekad 'sound' pemain skuad Tok Gajah sebaik tamat aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan malam tadi.

Pada perlawanan terbabit, Sri Pahang yang berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, menyaksikan skuad Tok Gajah tewas 0-3 kepada tuan rumah sekali gus menghuni tangga kedua tercorot liga.

Menerusi satu video tular berdurasi kurang seminit, pemain Sri Pahang FC dilihat berbalah sebaik perlawanan terbabit tamat.

Antara perkara yang disuarakan oleh penyokong adalah membabitkan aksi longlai skuad Tok Gajah walaupun dibarisi pemain berpengalaman.

Selain daripada pengendali Sri Pahang Christophe Gamel yang turut 'bertegang' dengan penyokong mereka, turut kelihatan dalam video berkenaan adalah Muslim Ahmad turut menjadi mangsa amukan penyokong Tok Gajah.

Selain itu, tonggak Sri Pahang, Nor Azam Azih pula cuba untuk menenangkan keadaan antara penyokong dan pemain.

Mengikut rekod, Pahang FC kini menduduki kedua tercorot liga dengan hanya mengumpul lapan mata hasil daripada 10 perlawanan manakala NSFC mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga, terikat 19 mata dengan pendahulu Johor Darul Takzim yang mempunyai kelebihan perbezaan gol.

Situasi terbabit adalah insiden kedua membabitkan penyokong memaki pasukan mereka selepas kejadian pertama berlaku pada April lalu apabila peminat Selangor turut berbuat demikian susulan aksi hambar pasukan Gergasi Merah itu pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 3:03 PM