PEMILIK kelab TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman (tengah) bersama dua pemain import dan tempatan dalam majlis tandatangan pemain baru. FOTO Ihsan TRW Kelantan FC
PEMILIK kelab TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman (tengah) bersama dua pemain import dan tempatan dalam majlis tandatangan pemain baru. FOTO Ihsan TRW Kelantan FC
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Pemain Kenta Hara dan Felipe Hereda Dos Santos menjadi pilihan Kelantan Football Club (Kelantan FC) melengkapkan kuota pemain import dalam jendela perpindahan kedua, musim ini.

Kenta, 26 pemain sayap kelahiran Jepun dan Felipe,28 dari Brazil menandatangani kontrak bersama pasukan Pantai Timur itu, semalam.

Kehadiran kedua import itu dimaklumkan pasukan menerusi hantaran di laman sosial rasmi pasukan itu.

Pengurus Operasi TRW Kelantan FC, Qusmaini Noor Rosli berkata, Kenta memiliki kebolehan bermain di bahagian sayap kiri dan kanan.

Katanya, selain itu, pemuda daripada negara matahari terbit itu juga mempunyai pengalaman beraksi di beberapa kelab seperti FK Alfa Modrica di Bosnia-Herzegovina, Port Kembla FC di Australia dan SC Kapellen-Erft, Jerman.

"Beliau (Kenta) sudah menjalani latihan bersama kem pasukan sejak minggu lalu.

"Kelincahan dan kelajuan beliau di bahagian sisi padang akan memberi impak positif dalam atur gerak serangan pasukan," katanya dalam kenyataan kepada media.

Qusmaini berkata, Felipe pula memiliki tubuh tegap dengan ketinggian 179 sentimeter sesuai di posisi pemain tengah pertahanan yang menjadi nadi kuat pasukan.

Felipe pernah beraksi bersama kelab Brazil iaitu Santo Andre FC, Foz Do Iguacu FC dan Club Sportivo Sergipe (SE) sebelum berhijrah ke Bahrain untuk bersama kelab East Riffa dan Budaiya Club.

Selain dua import itu, Kelantan FC terus menyambar pemain kelahiran negeri itu apabila turut mengikat Mohamad Shafiq Al-Hafiz Dawawi.

Anak jati Tumpat itu mempunyai pengalaman empat tahun dalam saingan Liga Super bersama UiTM FC dan Penang FC.

Pemain berusia 25 tahun itu juga pernah membuat penampilan bersama Perlis FA pada tahun 2015 hingga 2016.

Kelantan FC yang menduduki tangga teratas Liga Perdana dengan kutipan 22 mata kini semakin bernafsu memburu hasrat kembali ke pentas Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 2:35 PM