HALLER bersedia untuk mengikuti Lewandowski, Aubameyang dan Haaland, yang semuanya matang menjadi bintang terkemuka semasa bermain untuk Dortmund. FOTO Agensi
HALLER bersedia untuk mengikuti Lewandowski, Aubameyang dan Haaland, yang semuanya matang menjadi bintang terkemuka semasa bermain untuk Dortmund. FOTO Agensi
AFP

Berlin: Penyerang Ajax, Sebastien Haller berangkat ke Jerman untuk melengkapkan ujian perubatan dengan Borussia Dortmund, di mana dia bersedia menggantikan Erling Haaland.

Haller dijemput oleh pegawai rasmi Dortmund selepas tiba di lapangan terbang bandar berkenaan dan di bawa untuk pemeriksaan perubatan.

Pemain antarabangsa Ivory Coast berusia 28 tahun itu dilaporkan bersedia untuk menandatangani kontrak empat tahun bersama Dortmund bagi menggantikan Haaland, yang menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City.

Akhbar harian Jerman, Bild berkata, perpindahan Haller ke Ajax menyaksikan naib juara Bundesliga itu bersedia untuk membayar sebanyak €31 juta (RM143 juta) termasuk bonus.

Menurut majalah Kicker, perpindahan itu akan dilengkapkan bulan depan supaya Ajax boleh menambah pendapatan untuk tahun kewangan baharu.

Haller berada dalam prestasi terbaik dalam Liga Juara-Juara musim lalu, menjaringkan 11 gol dalam lapan perlawanan termasuk empat dalam kemenangan 5-1 ke atas Sporting Lisbon pada aksi pembukaan peringkat kumpulan.

Dia menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan menentang Dortmund ketika Ajax menewaskan kelab Jerman itu di tempat sendiri dan di tempat lawan pada peringkat kumpulan.

Juara Belanda itu tunduk pada pusingan 16 terakhir, tetapi Haller terus menjaringkan 21 gol dalam 31 perlawanan di Eredivisie.

Haller bersedia untuk mengikuti daripada penyerang Robert Lewandowski, Pierre-Emerick Aubameyang dan Haaland, yang semuanya matang menjadi bintang terkemuka semasa bermain untuk Dortmund.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 8:41 AM