AKSI perlawanan Sabah FC menentang Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Likas. -FOTO Mohd Adam Arinin
AKSI perlawanan Sabah FC menentang Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Likas. -FOTO Mohd Adam Arinin
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun berjaya merampas kedudukan pendahulu Liga Super daripada Johor Darul Ta'zim (JDT), pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee masih kurang berpuas hati dengan prestasi barisan pemainnya.

Sabah kini menduduki tangga teratas dengan mengumpul 18 mata hasil kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang FC di halaman sendiri, Sabtu lalu sekali gus kemenangan ketiga berturut-turut pada aksi Liga Super.

Mereka kini berkelebihan dua mata berbanding JDT namun skuad bimbingan Benjamin Mora masih kurang dua perlawanan dan dijangka akan merampas semula kedudukan pendahulu.

Meskipun meraih tiga mata penuh, Kim Swee gusar dengan kelekaan anak buahnya yang hampir menghukum pasukan ketika bertemu Sri Pahang dan berisiko untuk lawan menyamakan kedudukan.

"Kita bermain begitu baik terutamanya pada separuh masa pertama tetapi di babak kedua sudah mula hilang rentak apabila mereka mengambil mudah aksi.

"Ini perlu jadi pengajaran di mana kita sudah mendahului dan tidak boleh selesa apabila hampir sahaja dihukum apabila Pahang berjaya dapat satu gol.

"Ini beri tekanan kepada pasukan kita dan kita bernasib baik di mana pasukan dapat kekal bertahan dengan baik selepas dibolosi," katanya.

Sabah akan berehat kira-kira seminggu sebelum kembali berkunjung ke Stadium MBPJ bertemu Selangor FC pada 28 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 2:14 PM