AROON Kumar sedia pertahankan bahagian benteng PJ City FC pada perlawanan menentang Penang FC di Stadium Bandaraya malam esok. Ihsan Aroon Kumar.
AROON Kumar sedia pertahankan bahagian benteng PJ City FC pada perlawanan menentang Penang FC di Stadium Bandaraya malam esok. Ihsan Aroon Kumar.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Petaling Jaya (PJ) City FC tidak akan memandang rendah keupayaan Penang FC menjelang pertembungan kedua-dua pasukan itu pada aksi Liga Super, di Stadium Bandaraya, malam esok.

Tonggak pertahanan pasukan itu, R Aroon Kumar berkata, biarpun Penang berada dikedudukan tercorot carta liga ketika ini, tetapi tidak mustahil mereka boleh bangkit dengan keputusan yang baik.

Katanya, kehadiran ketua jurulatih baharu, Zainal Abidin Hassan, sudah tentu bakal menyuntik semanqat serta memberikan motivasi baharu kepada pemain pasukan Harimau Kumbang itu.

"Melihat kepada situasi berkenaan, pemain pasukan PJ City perlu berwaspada dan tidak boleh ambil mudah cabaran Penang, sebaliknya setiap pemain perlu kekal fokus serta mengikuti dengan baik setiap arahan ketua jurulatih, P Maniam.

"Saya jangkakan cabaran kami dalam perlawanan esok adalah sukar, tapi kami sudah buat persiapan rapi dan lihat semua rakan-rakan sudah berazam untuk memberikan komitmen sepenuhnya dalam usaha mendapatkan kemenangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bekas pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) berusia 28 tahun itu, berazam untuk memberikan persembahan terbaik dan akan memastikan tugas diamanahkan di bahagian pertahanan dilaksanakan dengan cemerlang dalam mengekang jentera serangan Penang.

Menurut Aroon, pasukannya perlu menewaskan Penang bagi membolehkan mata kemenangan itu nanti dapat membantu pasukan kembali ke posisi terbaik dalam carta liga, walaupun misi berkenaan bukan mudah kerana beraksi di gelanggang lawan.

"Prestasi baik dipamerkan pasukan dalam beberapa aksi persahabatan ketika liga berehat seharusnya dapat diterjemahkan dalam perlawanan menentang itu nanti.

"Bagaimanapun, kami diberitahu penyerang utama, Darren Lok tidak dapat diturunkan kerana beliau sudah mengutip tiga kad kuning, apa pun situasi itu tidak akan menggugat semangat dan komitmen kami untuk memastikan kutipan tiga mata dicapai," katanya.

Ketika ini, PJ City berada di tangga kelapan carta liga dengan meraih lapan mata daripada tujuh perlawanan dilalui dengan keputusan dua menang, dua seri dan tiga tewas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 8:50 PM