PENYERANG Perancis dan PSG, Kylian Mbappe. FOTO REUTERS
PENYERANG Perancis dan PSG, Kylian Mbappe. FOTO REUTERS
AFP

Madrid: Presiden Real Madrid, Florentino Perez mendakwa Kylian Mbappe memutuskan untuk kekal di Paris Saint-Germain kerana keliru selepas tekanan hebat 'politik dan ekonomi.'

Tetapi, apabila ditanya kemungkinan Mbappe menyertai Real Madrid pada masa depan, Perez tetap membuka pintu kepada penyerang berusia 23 tahun itu.

"Mbappe ini bukan Mbappe saya," kata Perez. "Tetapi, jika dia berubah, siapa tahu? Hidup ini beribu-ribu pusingan."

Bulan lalu, Mbappe mengejutkan Real Madrid apabila menolak ke Santiago Bernabeu dan menyambung kontrak baharu tiga tahun dengan PSG dan dilaporkan menerima gaji antara AS$41.6 juta hingga AS$52 juta (RM183.14 juta hingga RM228.93 juta).

"Mereka menawarkan kepadanya peluang menjadi pemimpin, bukan saja bagi pasukan bola sepak, malah pengurusan," kata Perez pada program televisyen Sepanyol, El Chiringuito, semalam.

"Kami lihat, dia bukan Mbappe yang kami mahu bawa ke sini - tetapi ia hasil daripada tekanan dihadapinya sehingga dia mengubah impiannya.

"Jika seorang kanak-kanak dipanggil oleh presiden sebuah negara, sudah tentu ia memberi kesan kepadanya, ia mempengaruhinya.

"Tetapi, anda boleh berjaya di Real Madrid, sama seperti Zidane dan menjadi sumber kebanggaan kepada presiden negara anda."

Perez percaya, Mbappe terpengaruh dengan tekanan politik Perancis dan Qatar berdasarkan laporan pembabitan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi yang juga pengerusi Qatar Sports Investments.

"Saya percaya tekanan politik mungkin amat memberi kesan kepadanya," kata Perez.

"Selain itu, wang dan tawaran kepemimpinan mengubah fikirannya. Dia melalui saat sukar. Apabila anda panik, anda mahu keluar daripada situasi itu secepat mungkin dan saya faham keadan itu.

"Tetapi, apa yang saya tidak faham apabila Raja Sepanyol memanggil kelab Sepanyol dan memberitahu pemain itu perlu kekal."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 8:38 PM