NIK Sharif idam kesebelasan utama skuadnya. FOTO Malik Muhamad
NIK Sharif idam kesebelasan utama skuadnya. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain baharu Terengganu FC (TFC), Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim, tekad mengintai kesebelasan utama skuad Penyu sebaik Liga Super kembali bersambung hujung minggu ini.

Pemain berusia 25 tahun yang dipinjamkan daripada pasukan Selangor FC sehingga berakhir musim ini terdahulu pantas mencuri tumpuan jurulatih dan peminat setia TFC apabila meledak dua gol ketika aksi persahabatan antarabangsa menentang juara Liga Perdana Kemboja musim ini, Phnom Penh Crown FC dan kelab Singapura, Balestier Khalsa FC minggu lalu.

Lebih manis jaringan ketika menentang kelab Kemboja itu adalah penampilan pertamanya bersama skuad kendalian Nafuzi Zain selepas lebih banyak memanaskan bangku simpanan ketika menyarung jersi skuad The Red Giants.

Bagaimanapun pemain yang boleh beraksi di posisi sayap kiri dan kanan itu enggan terlalu selesa dengan pencapaiannya serta tidak mahu diberi pujian melambung, sebaliknya pemain kelahiran Pahang itu menganggap ia permulaan yang positif buat dirinya bersama pasukan baharu.

"Sejujurnya saya masih mengambil masa untuk menyesuaikan diri bersama pasukan, tapi Alhamdulillah dengan taktikal dan corak permainan yang diterapkan ketua jurulatih, saya mudah untuk mengikutinya, lagipun saya gembira dengan taktikal berkenaan kerana sesuai dengan corak permainan saya.

"Justeru saya impikan untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan walaupun sedar bukan tugas mudah kerana skuad ini dibarisi pemain yang bagus di posisi berkenaan seperti Mohd Faiz Nasir, Faisal Halim dan beberapa pemain lain.

"Namun apa yang penting saya sentiasa bersedia untuk membantu pasukan lagipun matlamat utama saya berhijrah ke Terengganu adalah untuk mengembalikan semula prestasi terbaik, saya rasa boleh melakukan bersama TFC dan cuba menambat hati barisan kejurulatihan," katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Ketika ditanya apa impiannya yang belum dicapai, Nik Sharif menjelaskan dia berhasrat untuk menyarung jersi skuad senior kebangsaan suatu hari nanti sebelum gantung but.

"Mana-mana pemain sudah tentu ingin beraksi di pentas tertinggi, jadi besar harapan saya jika terpilih mewakili pasukan kebangsaan satu hari nanti," kata pemain yang memulakan kerjaya bersama akademi Pahang sebelum menyertai skuad senior Tok Gajah pada 2018.

Terengganu yang baharu beraksi empat perlawanan Liga Super bakal melayani kunjungan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Sabtu ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 1:29 PM