NUNEZ dikatakan semakin hampir sertai Liverpool. FOTO AFP
NUNEZ dikatakan semakin hampir sertai Liverpool. FOTO AFP
AFP

London: Liverpool dilaporkan semakin hampir menandatangani penyerang Uruguay dari Benfica, Darwin Nunez menerusi nilai perpindahan yang boleh mencecah sehingga £85 juta (RM460.3 juta).

Kelab Liga Perdana itu sudah berbincang dengan Benfica selama beberapa minggu dan pengarah sukan baharu Liverpool, Julian Ward dipercayai akhirnya mencapai persetujuan dalam rundingan itu.

Liverpool dilaporkan bersetuju untuk membayar £64 juta (RM346.6 juta) dengan kemungkinan tambahan £12.8 juta (RM69.3 juta) perlu dibayar berkaitan penampilan dan £8.5 juta (RM46 juta) lagi bergantung kepada kejayaan pasukan.

Jika semua syarat dipenuhi, perpindahan pemain berusia 22 tahun itu akan mengatasi yuran perpindahan termahal kelab Liverpool sebanyak £75 juta (RM406.3 juta) ketika mendapatkan bek tengah Belanda, Virgil van Dijk dari Southampton pada 2018.

Nunez, yang tidak beraksi bersama skuad Uruguay ketika melakar kemenangan 5-0 ke atas Panama pada perlawanan persahabatan Sabtu lalu, dijangka akan menjalani ujian perubatan hari ini yang mungkin mengambil masa dua hari untuk diselesaikan.

Pemain itu sudah menyatakan hasratnya untuk beraksi di bawah bimbingan pengurus Reds, Jurgen Klopp walaupun Manchester United berminat untuk mendapatkannya.

Nunez, yang bakal menandatangani kontrak enam tahun dengan Liverpool, menjaringkan 26 gol dalam 28 penampilan liga untuk Benfica musim lalu.

Dia menjaringkan gol untuk Benfica dalam kedua-dua perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara menentang Liverpool, April lalu dan mendapat pujian daripada Klopp.

Nunez berkemungkinan tiba di Anfield sebagai pengganti kepada Sadio Mane selepas Bayern Munich meningkatkan usaha mereka untuk mendapatkan penyerang Senegal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 9:17 AM