PAN-GON pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia menentang Turkmenistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. -NSTP Aizuddin Saad
PAN-GON pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia menentang Turkmenistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. -NSTP Aizuddin Saad
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Reaksi segera selepas bolos pada minit ke-38 dengan membalas gol ketiga di hujung babak pertama dipuji pengendali negara, Kim Pan-gon yang menyifatkan mentaliti pemainnya cukup kuat.

Dalam aksi pertama Kumpulan E kempen Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, skuad Harimau Malaya berjaya membenam Turkmenistan 3-1 untuk menghadiahkan tiga mata pertama.

Walaupun dibolosi hasil kesilapan individu namun Pan-gon enggan menyalahkan mana-mana pemain sebaliknya melihat reaksi balas itu sebagai sesuatu yang positif.

"Sudah tentu, ada satu ketika pemain akan melakukan kesilapan dan ia perkara biasa dalam permainan bola sepak.

"Saya tidak mahu komen mengenai kesilapan individu sebaliknya saya lebih fokus kepada permainan berpasukan.

"Bagaimanapun pemain berjaya bangkit daripada kesilapan itu dan saya bangga pemain mempunyai mentaliti seperti itu," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Jelasnya lagi, barisan pemain berjaya mengikut segala taktikal dan arahan yang dirancang sepanjang 90 minit aksi.

"Malam ini salah satu momen terindah buat saya dan barisan kejurulatihan apabila dapat melihat kegembiraan yang terpancar pada wajah semua pemain serta para penyokong yang hadir ke stadium.

"Saya sebenarnya tidak meletakkan harapan besar kepada pemain pada perlawanan malam ini, namun mereka memberikan 120 peratus komitmen memberangsangkan atas padang. Harimau Malaya mula menunjukkan karakter sebenar.

"Mereka berjaya mengikut perancangan yang ditetapkan sebelum ini dengan tepat dan teratur, sekali gus membolehkan pemain-pemain dapat mendominasi permainan dengan bertenaga selain mempamerkan semangat juang yang tinggi sepanjang 90 minit di atas padang tadi," katanya.

Pada perlawanan itu, tuan rumah meraih gol menerusi Safawi Rasid, Faisal Halim dan Corbin Ong dengan masing-masing meledak gol pada minit ke-11, 16 dan 46, sementara gol pelawat diraih melalui Annadurdyyev Altymyrat di minit 38.

Malaysia dan Bahrain kini berkongsi tiga mata namun skuad kendalian Pan-gon berada di tangga pertama kumpulan hasil kelebihan satu gol selepas Bahrain hanya mampu melakar kemenangan 2-0 ke atas Bangladesh.

Selepas ini, skuad Harimau Malaya akan bertemu Bahrain dalam aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 1:21 PM