POLIS anti rusuhan Perancis berkawal di depan penyokong Liverpool di Stade de France, Paris. FOTO EPA
POLIS anti rusuhan Perancis berkawal di depan penyokong Liverpool di Stade de France, Paris. FOTO EPA
AFP

Lausanne: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), hari ini mengumumkan sudah membuka siasatan bebas berikutan kekecohan keselamatan sebelum final Liga Juara-Juara Eropah antara Liverpool dab Real Madrid di Stade de France, Paris, Sabtu lalu.

Badan induk bola sepak Eropah itu berkata, laporan itu akan 'menilai proses membuat keputusan, tanggungjawab dan sikap semua pihak terbabit di final itu."

UEFA melantik ahli politik Portugal, Tiago Brandao Rodrigues untuk meneliti laporan itu sebaik saja ia dilengkapkan sebelum membuat keputusan sewajarnya.

"Bukti akan dikumpul daripada semua pihak terbabit," kata UEFA.

"Hasil laporan bebas itu akan didedahkan kepada umum."

Brandao Rodrigues pernah berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan Portugal dan ahli Agensi Antidadah Dunia serta atase Olimpik Portugal ke Sukan Olimpik London 2012.

Hari ini, kerajaan Perancis mendakwa kekecohan berlaku kerana penggunaan tiket palsu secara besar-besaran.

Namun, kerajaan Perancis dikecam hebat oleh media dan ahli politik Britain berikutan tindakan polis sebelum perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 9:08 AM