CR7 muncul penjaring terbanyak United.
CR7 muncul penjaring terbanyak United.
Agensi

London: Cristiano Ronaldo mendapat durian runtuh £1 juta (RM5.52 juta) selepas menamatkan musim sebagai penjaring terbanyak Manchester United.

United tewas kali ke-10 kepada Crystal Palace pada hari terakhir musim yang mengecewakan buat mereka tetapi Ronaldo sudah pun mengesahkan Kasut Emas United miliknya dengan meledak 24 gol dalam semua kejohanan.

Tiada seorang pun pemain United yang menghampiri pencapaian bintang Portugal itu dengan Bruno Fernandes di tempat kedua dengan 10 gol.

Malah Ronaldo menduduki tempat ketiga dalam persaingan merebut Kasut Emas Liga Perdana dengan 18 gol sepanjang musim ini.

Baru-baru ini Ronaldo mengaut £850,000 (RM4.69 juta) selepas menjaringkan hatrik ketika menentang Norwich bulan lalu, menurut The Sun.

Dalam kontraknya dengan United, Ronaldo mempunyai klausa yang menyebut dia akan mendapat £750,000 (RM4.14 juta) jika menjaringkan 20 gol dalam semua kejohanan dan Ronaldo mencapainya menerusi jaringan kedua ketika menentang Canaries.

Dan setiap gol dijaringkan selepas itu, Ronaldo mendapat tambahan £100,000 (RM552,000) termasuk jaringan ketiga yang melengkapkan hatriknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 10:41 PM