BARISAN pemain PSG meraikan kejayaan mereka muncul juara Ligue 1 buat kali ke-10. -FOTO EPA
BARISAN pemain PSG meraikan kejayaan mereka muncul juara Ligue 1 buat kali ke-10. -FOTO EPA
AFP

Madrid: Perjanjian di antara Paris Saint-Germain dengan Kylian Mbappe adalah "satu penghinaan kepada bola sepak," kata Presiden La Liga, Javier Tebas selepas pemain itu menolak tawaran daripada Real Madrid.

"Apa yang PSG lakukan dengan memperbaharui kontrak Mbappe membabitkan jumlah yang besar selepas mencatatkan kerugian sebanyak 700 juta euro (RM3,245.95 juta) beberapa musim kebelakangan ini dan perlu membayar gaji melebihi 600 juta euro (RM2,782 juta) adalah satu penghinaan kepada bola sepak," tweet Tebas.

Presiden PSG Nasser Al-Khelaifi berkata ia "sama berbahaya seperti Liga Super," katanya merujuk kepada pertandingan baharu dengan 12 kelab terbesar Eropah yang dicadangkan April lalu.

Projek berkenaan bagaimanapun tidak menjadi berikutan tidak dipersetujui oleh pemain dan peminat mereka sendiri serta kerajaan dan badan induk bola sepak.

Mbappe, 23, yang menjulang Piala Dunia bersama Perancis bersetuju untuk kekal bersama juara Perancis bagi tempoh tiga tahun lagi.

Pengumuman itu menimbulkan rasa tidak puas hati di Sepanyol.

La Liga berkata, mereka memfailkan aduan terhadap PSG kepada badan induk Eropah UEFA serta Kesatuan Eropah.

"La Liga ingin memberitahu bahawa perjanjian seperti ini menjejaskan kemampanan ekonomi bola sepak Eropah. Membahayakan ratusan ribu pekerjaan dan integriti sukan, bukan sahaja dalam pertandingan Eropah tapi juga liga domestik kita," kata La Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 7:55 AM