HAMIDIN (berdiri kiri) memberi kata-kata semangat kepada pemain skuad B-23 negara. FOTO ihsan FAM
HAMIDIN (berdiri kiri) memberi kata-kata semangat kepada pemain skuad B-23 negara. FOTO ihsan FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin 'turun padang' meninjau keadaan semasa pemain skuad bawah 23 (B-23) tahun negara menjelang aksi separuh akhir di Sukan Sea di Hanoi, Vietnam, malam esok.

Skuad kendalian Brad Maloney dijadual berdepan misi getir menentang pasukan tuan rumah yang juga juara bertahan di Stadium Viet Tri nanti.

Hamidin bertemu barisan pemain dan pegawai pasukan di Hotel Muong Thanh, Phu Tho, hari ini sambil menggesa pemain agar tidak mudah menyerah kalah.

Hamidin berkata, beliau kekal optimis dengan kemampuan barisan pemain muda negara untuk berdepan skuad Naga Emas dalam aksi hidup mati itu.

"Saya tetap berbangga dengan pencapaian skuad muda negara tidak kira apa jua keputusan yang berlaku pada malam esok.

"Namun kata orang, 'pantang berundur sebelum berjuang' dan kita harus ingat bahawa sentimen anak Malaysia adalah pantang menyerah dan pantang dicabar.

"Harapan saya adalah pemain bermain demi negara, bukannya untuk nama kerana apabila kita berjuang demi Malaysia, auranya inilah bakal menjadi penyuntik motivasi terbaik untuk kita berdepan Vietnam nanti," katanya.

Malaysia mara ke separuh akhir selepas muncul naib juara Kumpulan B di belakang Thailand.

Kali terakhir skuad negara melangkah ke final adalah pada temasya 2017 di Kuala Lumpur, namun tewas 0-1 di tangan Thailand untuk sekadar memenangi pingat perak.

Sementara kali terakhir Malaysia menggondol pingat emas pada 2011 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 11:14 PM