BADDROL (tengah) meraikan jaringannya ketika bertemu Penang FC. FOTO Mikail Ong
BADDROL (tengah) meraikan jaringannya ketika bertemu Penang FC. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Percaturan Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengubah posisi Baddrol Bakhtiar sebagai penyerang utama menjadi antara faktor menyumbang kejayaan pasukan itu menewaskan Penang FC, 4-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Perlawanan semalam menyaksikan kapten pasukan Sang Badak itu tidak berada di posisi kelaziman iaitu di bahagiam jentera tengah atau sayap sebaliknya sebagai penyerang utama dibantu Amri Yahyah dan Taiki Kagayama di sebelah kanan dan kirinya.

Kim Swee mengakui keputusan yang diperoleh semalam di luar jangkaan namun berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan anak buahnya biarpun berada dalam situasi keletihan selepas aksi Piala FA di Kota Kinabalu, Jumaat lalu.

"Kita tahu Baddrol adalah pemain yang cukup berpengalaman dan beliau bermain dengan cukup baik di posisi berlainan yang mana kita telah bermain selama 120 minit tempoh hari dan ini memberi sedikit impak dari segi keletihan namun majoriti para pemain menunjukkan tahap kecergasan memuaskan.

"Jika mengikut perancangan sudah tentu saya tidak menjangkakan sehingga empat gol tetapi pemain bangkit selepas Penang FC menyamakan kedudukan dan ini menunjukkan pemain berada pada tahap yang cukup baik terutamanya daripada segi mentaliti ataupun keyakinan mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Sementara itu, pengendali Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid melihat terdapat peningkatan yang agak baik daripada aspek permainan dan kombinasi dalam percubaan mencipta peluang mencetak gol namun anak buahnya belum dapat menterjemahkannya dalam bentuk kemenangan bagi memberi lebih keyakinan kepada pasukan ketika ini.

"Saya nampak ada peningkatan sejak perlawanan dengan KL City dan ada gerakan-gerakan kombinasi di bahagian hadapan kita mencipta peluang cuma tidak berjaya menjaringkan gol kemudian dari segi pengalaman, pemain Sabah FC cukup berbeza dengan kematangan mereka menyebabkan Sabah tampak lebih baik dari pasukan Penang FC.

"Dapat dilihat situasi berbeza pada pasukan Sabah dengan peluang yang mereka cipta berjaya menghasilkan gol dan keadaan itu memberi tekanan kepada pasukan tetapi kita cuba menyamakan kedudukan pada masa kedua namun dalam masa terdekat itu Sabah berjaya mendapatkan dua gol yang sangat cepat dan dari situ kita rasa kita perlu memperbaiki pasukan untuk perlawanan akan datang," katanya.

Mengulas mengenai desas-desus berhubung jendela perpindahan pemain dan rombakan dalam pasukan beliau berpendapat perkara itu perlu dibincangkan dengan pihak pengurusan sebelum keputusan mengenainya dibuat.

Tambahnya, tempoh 'cuti' sebulan sebelum pertembungan antara PJ City pada 18 Jun akan dimanfaatkan sebaiknya untuk mengukuhkan skuad Harimau Kumbang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 1:45 PM