HADI Fayyadh meledak dua gol untuk skuad negara ketika bertemu Kemboja. -FOTO Ihsan FAM
HADI Fayyadh meledak dua gol untuk skuad negara ketika bertemu Kemboja. -FOTO Ihsan FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kegagalan meraih kemenangan ke atas Kemboja pada aksi terakhir kumpulan saingan Sukan Sea menyaksikan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara dilihat seolah mencari nahas apabila dijadual berdepan Vietnam di peringkat separuh akhir temasya kali ini.

Malaysia yang mempunyai peluang terhidang untuk muncul juara Kumpulan B dengan hanya perlu melakar kemenangan ke atas Kemboja gagal melakukannya apabila sekadar terikat 2-2, sekali gus menolak skuad negara ke tangga kedua dengan Thailand naik ke tempat pertama selepas menang 1-0 bertemu Laos.

Begitupun, pengendali negara, Brad Maloney dilihat tidak gentar dengan reputasi hebat Vietnam selaku pemenang pingat emas edisi lalu di Filipina apabila mengakui bersedia menurunkan skuad terbaik apabila kedua-dua pasukan turun di Stadium Viet Tri, Khamis ini.

Tegasnya, untuk menjuarai temasya dwitahunan itu, anak buahnya perlu berdepan sesiapa sahaja tanpa perlu memilih lawan.

"Jika kita mahu muncul juara kali ini, kita perlu menewaskan pasukan yang terbaik," katanya sejurus tamat aksi dengan Kemboja di Stadium Thien Truong petang semalam.

Ujarnya lagi, pemain negara tetap perlu bersedia secukupnya selain tidak berasa gentar untuk berdepan dengan mana-mana pasukan pada saingan peringkat separuh akhir nanti.

"Secara keseluruhannya, pemain perlu bersedia selain melakukan pendekatan sama seperti ketika beraksi pada saingan peringkat kumpulan sebelum ini.

"Walau pasukan mana yang bakal kita temui di separuh akhir nanti, kita akan gunakan pendekatan yang sama dalam usaha memastikan kejayaan pasukan.

"Ini kerana, kedua-dua pasukan (dari Kumpulan A) adalah pasukan yang cukup bagus," katanya.

Dalam aksi dengan Kemboja itu, Hadi Fayyadh Abdul Razak meledak dua gol untuk skuad negara pada minit ke-51 dan 67, manakala pasukan kendalian Keisuke Honda meraih gol menerusi Choun Chanchav (m-45) dan Narong Kakada (m-60).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 2:46 PM