MBAPPE pemenang anugerah pemain terbaik buat kali ketiga berturut-turut. -FOTO AFP
MBAPPE pemenang anugerah pemain terbaik buat kali ketiga berturut-turut. -FOTO AFP
AFP

Paris: Kylian Mbappe berkata dia semakin 'hampir' membuat keputusan sama ada akan kekal di Paris Saint-Germain atau meninggalkan juara Perancis itu untuk bersama Real Madrid.

"Ya, ya semakin hampir" katanya apabila ditanya sama ada dia sudah membuat pilihan selepas merangkul anugerah pemain terbaik musim ini buat kali ketiga berturut-turut di Paris, awal pagi tadi.

Penantian untuk melihat sama ada pemain berusia 23 tahun itu akan berpindah ke ibu negara Sepanyol itu atau terus bersama PSG untuk membantu mereka menjulang Liga Juara-Juara 'hampir berakhir' katanya.

Dia merancang untuk 'mengumumkan' keputusannya sebelum perlawanan Perancis menentang Denmark dalam aksi Liga Negara-Negara pada 3 Jun.

Menolak untuk mendedahkan perkara itu dalam masa terdekat ini biarpun diberi peluang untuk berbuat demikian pada majlis anugerah berkenaan mengucapkan terima kasih kepada pasukan.

"Terima kasih kepada PSG yang membolehkan saya berada di sini, rakan pasukan dan jurulatih saya."

"Cerita saya akan berterusan, saya mahu terus menang, saya tidak pernah berpuas hati dan itu bagus," katanya.

Turut hadir pada malam anugerah berkenaan adalah kapten PSG, Marquinhos yang turut memberi komen terhadap persoalan yang wujud dikalangan peminat PSG dan rakan sejawat di Real: "Saya harap musim depan dia akan memenangi trofi ini sekali lagi."

Minggu lalu akhbar Perancis melaporkan bahawa pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu pada dasarnya bersetuju untuk kekal di PSG untuk tempoh tiga tahun lagi.

Bagaimanapun perkara berkenaan dinafikan oleh ibunya.

Mbappe dengan jelas mengatakan dia menyimpan hasrat untuk beraksi bersama Real yang akan beraksi di pentas akhir Liga Juara-Juara selepas memenangi liga Sepanyol buat kali ke-35 satu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 11:08 AM