MOUNT gagal sempurnakan penalti penting buat Chelsea. -FOTO Reuters
MOUNT gagal sempurnakan penalti penting buat Chelsea. -FOTO Reuters
Agensi

London: Pemain yang paling kecewa di final Piala FA pastinya Mason Mount selepas dia gagal menyempurnakan sepakan penalti penting yang menyaksikan Chelsea tewas kepada Liverpool dan ia adalah kekalahan keenam berturut-turut pada perlawanan akhir di Wembley.

Dia kini menjadi mangsa kecaman penyokong di media sosial yang penuh dengan 'troll' mengkritik Mount - penjaring terbanyak Chelsea dalam Liga Perdana musim ini gagal menjaringkan gol.

Mount - yang dilabelkan 'budak botol' dalam talian - kecewa bersama England yang hampir memenangi trofi pertama sejak 1966 tetapi tersungkur di tangan Itali pada final Euro 2020.

Nasib malang melanda Mount membuatkan sebahagian penyokong percaya bahawa pemain itu terkena "sumpahan".

Seorang pengguna Twitter berkata: "Mason Mount benar-benar terkena sumpahan di Wembley."

Mount dipertanggungjawabkan untuk mengambil sepakan penting namun sepakannya itu gagal menembusi gawang sebelum Liverpool, Konstantinos Tsimikas mengesahkan kemenangan pagi tadi.

Kegagalan itu pasti menghantui dirinya apabila ia adalah kekalahan kali keenam berturut-turut di final yang berlangsung di Wembley dalam kariernya.

Nasib malang Mount di stadium kebangsaan itu bermula pada 2019 ketika dipinjamkan ke Derby.

Pemain berusia 23 tahun itu yang bermain di bawah kendalian Frank Lampard ketika itu tewas di tangan Aston Villa pada playoff Liga Kejuaraan.

Dia kemudian merasai kekalahan berturut-turut pada Piala FA bersama Chelsea pada 2020 dan 2021.

Dan musim ini, kekalahan dua kali berturut-turut kepada Liverpool menerusi penentuan sepakan penalti masing-masing pada Piala Liga dan FA menambah buruk keadaan buat penyokong Chelsea.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 10:28 AM