PENGADIL Paul Tierney melayangkan kad merah kepada Rob Holding. -FOTO Reuters
PENGADIL Paul Tierney melayangkan kad merah kepada Rob Holding. -FOTO Reuters
AFP

London: Mikel Arteta melemparkan kritikan terhadap pengadil Paul Tierney selepas Tottenham menewaskan Arsenal yang terpaksa beraksi 10 pemain sekali gus menghidupkan peluang untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris.

Pasukan Antonio Conte akan tersingkir daripada perebutan untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan jika mereka tewas kepada seteru utama dari utara London itu.

Namun Harry Kane meletakkan Arsenal dalam keadaan sukar apabila meledakkan gol pembukaan selepas dihadiahkan sepakan penalti yang mencetuskan kontroversi.

Pemain Arsenal, Rob Holding dilayangkan kad merah seawal minit ketujuh perlawanan.

Kane sekali lagi menjaringkan gol kedua sebelum babak pertama tamat dengan Son Heung-min meletakkan nama sebagai penjaring ketiga Tottenham pada separuh masa kedua.

Selain berusaha untuk kembali semula ke kancah ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak musim 2016-17, Arsenal yang kini berkedudukan tempat keempat dalam carta liga bergelut untuk menamatkan saingan dalam kedudukan empat teratas.

Arsenal kini memiliki kelebihan tipis apabila hanya mempunyai kelebihan satu mata mengatasi Tottenham di tangga kelima dengan kedua-dua pasukan masih mempunyai baki dua perlawanan.

Pengendali Gunners itu nyata berang dengan penalti dan kad merah yang dilayangkan berkata: "Jika saya katakan apa yang saya fikir saya akan digantung enam bulan. Saya tidak tahu bagaimana nak menipu jadi saya lebih suka untuk tidak mengatakan apa yang saya fikirkan.

"Saya tidak boleh memberikan pendapat saya. Saya fikir anda boleh membaca bahasa badan saya dengan jelas. Saya tidak puas hati tapi saya bangga dengan pemain saya.

"Saya mahu pengadil tampil di hadapan kamera dan menjelaskan keputusannya. Sungguh memalukan kerana permainan yang begitu indah musnah hari ini."

Sementara itu Conte beberapa minggu lalu berkata, ia akan menjadi satu 'keajaiban' jika Tottenham layak ke Liga Juara-Juara memandangkan kedudukan mereka yang lebih rendah ketika dia menggantikan Nuno Espirito Santo yang dipecat November lalu.

Namun kemenangan ke atas Arsenal itu menyaksikan bawah keajaiban masih boleh menjadi kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 8:45 AM