AC Milan kini dimiliki dana pelaburan Amerika, Elliot Management. FOTO AFP
AC Milan kini dimiliki dana pelaburan Amerika, Elliot Management. FOTO AFP
AFP

Rom: AC Milan yang dimiliki oleh dana pelaburan Amerika, Elliot Management sejak 2018, menjadi sasaran dua pembida, kata presiden kelab Paolo Scaroni.

"Saya difahamkan terdapat dua tawaran dan ia memerlukan masa untuk memahami dan membandingkannya," kata Scaroni kepada agensi berita Itali, ANSA.

Pada April lalu, media Itali melaporkan dana pelaburan yang berpangkalan di Bahrain, Investcorp berminat terhadap kelab itu.

Baru-baru ini, akhbar Itali melaporkan terdapat perbincangan dengan pembida lain yang lebih berpotensi iaitu dana pelaburan Amerika, RedBird Capital Partners.

Tiada maklum balas rasmi daripada kedua-dua pembida yang dilaporkan itu, walaupun Scaroni pada Selasa lalu menunjukkan bahawa rundingan antara Investcorp dengan pemilik kelab dilihat lebih positif.

"Saya bukan orang yang sesuai untuk ditanya berkenaan perkara ini, kerana saya mengendalikan kelab yang menjadi subjek tawaran," katanya.

Pengarah Milan yang juga legenda kelab itu, Paolo Maldini berkata pada April lalu bahawa dia menjangkakan kelab itu akan dijual.

Elliott Management mengambil alih kelab itu pada 2018 apabila ahli perniagaan China, Li Yonghong tidak dapat membayar balik pinjaman yang diambilnya selepas membeli kelab itu dari daripada Fininvest milik Silvio Berlusconi pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 12:20 PM