SALAH menjadi tonggak utama Liverpool. FOTO EPA
SALAH menjadi tonggak utama Liverpool. FOTO EPA
Agensi

London: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah berhasrat mahu membalas dendam aksi final Liga Juara-Juara kali ini menentang Real Madrid sebagai ulangan kepada pertembungan perlawanan 2018.

Bintang Mesir itu membantu Liverpool mengatasi Villareal pada aksi separuh akhir pertama selasa lalu sebelum Real Madrid bangkit menewaskan Manchester City pada aksi separuh akhir kedua awal pagi tadi.

Selepas disahkan Real Madrid menjadi lawan Liverpool di pentas final, Salah memuatnaik satu hantaran di media sosialnya berkenaan pertembungan antara kedua pasukan itu pada 28 Mei nanti.

"Kami mempunyai tugas yang perlu diselesaikan," katanya menerusi akaun rasmi Twitter dan Instagram miliknya.

Hantaran menerusi Instagram miliknya menerima lebih 700,000 tanda suka selepas 45 minit dimuatnaik.

Manakala ciapannya di Twitter memperoleh kira-kira 125,000 tanda suka dan lebih 40,000 ciapan semula.

Pada perlawanan akhir 2018, Salah dibawa keluar akibat kecederaan selepas dikasari bek tengah Real Madrid, Sergio Ramos.

Pemain gantian Los Blancos, Gareth Bale menjaringkan dua gol buat pasukannya dan menang 3-1 ke atas The Reds. Justeru Salah jelas berasakan ada perkara yang belum diselesaikan.

Pengulas BT Sport, Rio Ferdinand menegaskan dia menyukai kejujuran dan sifat terus terang pemain berusia 29 tahun itu.

"Dia ada urusan yang belum selesai dengan Real Madrid. Dia terpaksa di keluarkan kerana dikasari oleh Sergio Ramos.

"Jadi sekarang semangatnya sangat membara. Dia lebih memilih untuk menang menentang pasukan yang menewaskannya ketika pertemuan kali kali terakhir. Selamat berjaya untuknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 11:06 AM