KEITA (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
KEITA (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
Agensi

London: Liverpool kekal bersaing memburu empat kejuaraan musim ini selepas menewaskan Newcastle 1-0 hari ini untuk kembali ke puncak Liga Perdana.

Jurgen Klopp melakukan lima pertukaran di St James Park, termasuk meletakkan penjaring terbanyak, Mohamed Salah di bangku simpanan selepas beraksi di separuh akhir Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Newcastle yang berada pada prestasi terbaik bermula garang apabila sering memberi tekanan kepada Liverpool sehingga memaksa pelawat melakukan beberapa kesilapan awal.

Namun Liverpool kembali pada prestasi terbaik apabila menguasai bola sebelum Naby Keita menjaringkan gol pada minit ke-19.

Pemain tengah itu mempamerkan ketenangan apabila dia menggelecek ke dalam kotak penalti dan melepasi Martin Dubravka sebelum meledak gol ke gawang lawan.

Sadio Mane sepatutnya menjadikan kedudukan 2-0 sebelum rehat namun rembatannya dinafikan Dubravka, yang turut menafikan tandukan Diogo Jota.

Newcastle turut mempamer aksi cemerlang pada separuh masa kedua tetapi Liverpool kekal tenang mempertahankan kedudukan 1-0 sehingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 9:49 PM