RANGNICK (dua dari kiri) kecewa dengan persembahan United di Anfield.
RANGNICK (dua dari kiri) kecewa dengan persembahan United di Anfield.
Reuters

Liverpool, England: Pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick berkata, kelabnya yang tewas 0-4 di Anfield awal pagi tadi ketinggalan enam tahun di belakang Liverpool dan perlu dirombak jika mahu kembali bersaing dalam pemburuan gelaran liga musim depan.

United tewas 0-5 kepada Liverpool di Old Trafford pada Oktober dan sekali lagi dibelasah dalam perlawanan kedua untuk skuad Juergen Klopp kembali selaku pendahulu Liga Perdana.

"Ia memalukan, mengecewakan malah kami diaibkan," kata Rangnick.

"Kami perlu terima hakikat mereka enam tahun di depan kami. Kedatangan Klopp berjaya melonjak prestasi Liverpool dengan drastik dan itu yang perlu kami lakukan pada jendela perpindahan akan datang," katanya.

Pengendali dari Jerman itu berkata, Liverpool semakin cemerlang pada setiap kali jendela perpindahan selepas Klopp menyertai mereka pada 2015 dan ia berbaloi dengan kelab itu memiliki "25 pelumba Formula Satu".

Rangnick dijangka digantikan pengurus Ajax, Erik ten Hag musim depan. Dengan beberapa pemain bakal tamat kontrak, Rangnick yang akan berperanan sebagai penasihat berkata, United terpaksa dirombak besar-besaran.

"Bagi saya, ia jelas. Mungkin enam, tujuh, lapan malah 10 pemain baharu, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 7:55 AM