DE Bruyne (kanan) menjaringkan gol pertama City. FOTO AFP
DE Bruyne (kanan) menjaringkan gol pertama City. FOTO AFP
AFP

Burnley: Pep Guardiola berkata Manchester City mengharungi musim yang luar biasa dengan meletakkan diri mereka dalam kedudukan untuk merebut tiga trofi di hujung kempen.

City merampas semula kedudukan teratas Liga Perdana dengan kemenangan 2-0 ke atas Burnley awal pagi tadi selepas terlepas seketika kedudukan di puncak liga susulan kemenangan 2-0 Liverpool ke atas Watford pada perlawanan terdahulu.

Hanya satu mata memisahkan dua pasukan teratas itu menjelang kunjungan Liverpool ke Etihad minggu depan.

Kedua-dua pasukan turut terbabit dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara minggu ini dan akan bertemu semula pada separuh akhir Piala FA pada 16 April.

"Apabila anda tiba pada Mei dan berada dalam kedudukan mencabar kejuaraan, itu bermakna anda sudah melalui musim yang luar biasa.

"Kami berada di kedudukan sekarang kerana kami bekerja keras. Pujian wajar diberikan kepada seluruh organisasi kelab ini," kata Guardiola.

Liverpool merapatkan jurang 14 mata antara kedua-dua pasukan pada Januari hasil 10 kemenangan tetapi City hanya kehilangan tujuh mata di Liga Perdana sejak Oktober.

City tidak berasa gementar di Turf Moor selepas Kevin De Bruyne meletakkan pelawat di depan.

Ilkay Gundogan menambah gol kedua pada separuh masa kedua dengan kedua-dua gol itu dicipta oleh Raheem Sterling.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 8:08 AM