BARISAN jurulatih bergambar bersama trofi Piala Dunia pada majlis undian di Doha. FOTO AFP
BARISAN jurulatih bergambar bersama trofi Piala Dunia pada majlis undian di Doha. FOTO AFP
Wan Asrudi Wan Hasan


Doha, Qatar: Kemeriahan saingan pusingan akhir Piala Dunia 2022 yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini makin terasa dengan tuan rumah, Qatar rancak melakukan persiapkan membina pelbagai dekorasi menarik serta kemudahan bagi temasya sukan bola sepak utama itu.

Selain stadium bola sepak serba lengkap dan moden bagi kejohanan, persekitaran bandar antara negara terkaya dunia itu turut dihiasi pelbagai poster serta arca menarik yang cukup simbolik dengan temasya membabitkan saingan 32 pasukan dari seluruh benua bagi merebut gelaran 'raja' bola sepak dunia.

Majlis undian menentukan kumpulan bagi pusingan akhir kejohanan yang dijadual berlangsung pada 21 November hingga 18 Disember ini diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Doha, malam tadi.

Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino berkata Piala Dunia 2022 bakal menjadi temasya bola sepak utama terhebat dan unik.

Infantino pada majlis undian yang dipancarkan secara langsung menerusi televisyen memberitahu, kemuncak saingan kejohanan semakin terasa dan merakamkan ucapan selamat maju jaya buat pasukan bertanding.

"Ia akan menjadi antara kejohanan terbaik dan unik yang pasti turut menyatukan dunia dalam keadaan aman serta harmoni," katanya yang kemudiannya mengalu-alukan kehadiran Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani pada majlis itu.

Sheikh Tamim dalam ucapannya berjanji akan memastikan kelancaran dan kemeriahan kejohanan itu.

Majlis undian yang diadakan ringkas dan meriah itu dihadiri 2,000 tetamu jemputan menampilkan gandingan pengacara, Idris Elba dan Reshmin Chowdhury.

Selain persembahan artis jemputan majlis itu turut mengimbau era kegemilangan beberapa bintang bola sepak dunia yang sudah tiada menerusi tayang klip video khas antaranya Maradona (Argentina), Paolo Rossi (Itali), Gerard Muller (Jerman) dan Gordan Banks (England).

Bagi peringkat undian pula menampilkan kemunculan pemenang Piala Dunia dua kali bersama pasukan bola sepak wanita Amerika Syarikat, Carli Lloyd; pengacara televisyen dan bekas pemain bola sepak Tottenham, Jermaine Jenas serta Samantha Johnson.

Legenda bola sepak Perancis, Didier Deschamps yang mengetuai pasukan negaranya memenangi Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 pula ditugaskan membawa trofi Piala Dunia diiringi peminat cilik sebagai simbolik memulakan majlis undian.

Turut menjayakan majlis undian adalah penampilan khas legenda bola sepak Brazil, Cafu, Lothar Matthaus (Jerman), Ali Daei (Iran), Bora Milutinovic (Serbia/Mexico), Jay-Jay Okocha (Nigeria), Rabah Madjer (Algeria),Tim Cahill (Australia) dan Adel Ahmed MalAllah (Qatar).

Adel Ahmed berkata dia berbangga kerana dapat turut serta mengendalikan majlis undian itu bersama beberapa bekas bintang bola sepak dunia.

Katanya, dia berharap peminat akan memberi sokongan penuh kepada semua pasukan yang bertanding.

"Kejohanan ini akan menjadi insipirasi kepada generasi muda dan seterusnya menggalakkan pembabitan mereka dalam sukan bola sepak," kata bekas pemain kelab, Al Ahli dan mewakili pasukan kebangsaan Qatar dari 1979 hingga 1992.

Selaku tuan rumah Qatar berada dalam kumpulan A berdepan ujian getir apabila akan menentang Ecuador bagi perlawanan pembukaan diikuti aksi berdepan Belanda dan jaguh benua Afrika, Senegal.

Semestinya, masyarakat seluruh dunia cukup teruja menantikan acara bola sepak Piala Dunia pertama diadakan selepas tempoh sukar dilalui sepanjang penularan wabak Covid-19 yang seterusnya mengganggu kelancaran penganjuran beberapa temasya sukan antarabangsa.

Dalam perkembangan sama, beberapa acara khas turut diadakan sempena undian pusingan akhir seperti tayangan menerusi skrin gergasi membabitkan perkarangan hotel, pusat membeli-belah selain kedai makan dan kafe.

Gelagat penyokong pasukan negara masing-masing menjadi perhatian ketika undian dilangsungkan.

Ada diantara mereka bersorak serta menjerit apabila negara pilihan masing-masing diumumkan berada dalam carta undian lapan kumpulan yang ditempatkan bagi pusingan akhir kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 2:23 PM