Pemain KL City FC meraikan kejayaan menjaringkan gol dalam aksi Liga M. FOTO MFL
Pemain KL City FC meraikan kejayaan menjaringkan gol dalam aksi Liga M. FOTO MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tunggakan gaji dua bulan yang menghantui juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur City FC (KL City) akan diselesaikan minggu depan.

Jaminan itu ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard apabila mengakui sememangnya berlaku kelewatan pembayaran gaji pemain selama dua bulan namun ia akan diselesaikan tidak lama lagi.

"Perkara ini (lewat pembayaran gaji) untuk KL City bukan baru, tahun lepas pun situasi sama juga, sebab itu pemain-pemain kami tidak bising di laman sosial kerana kami di pihak pengurusan sentiasa berbincang dengan pemain.

"Pemain sangat memahami dan mereka tahu gaji mereka tetap akan di bayar cuma kadang-kala lewat sedikit. Mungkin sebab kita dah jadi juara Piala Malaysia, isu ini timbul sedangkan tahun lalu tidak pun.

"Kita dah maklumkan kepada pemain tentang kelewatan dan mereka faham. Tetapi kita dah dapat selesaikan dan minggu depan semuanya akan dibayar.

"Sebelum perlawanan dengan JDT (Johor Darul Ta'zim) kita dapat bayar semua dan komitmen pemain tetap sama untuk berikan terbaik dalam setiap perlawanan," katanya kepada Arena Metro.

Skuad Warga Kota yang dibimbing Bojan Hodak selepas ini dijadual berdepan JDT di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dalam aksi Liga Super, 6 April ini.

Dua minggu terakhir bulan Mac ini menyaksikan Liga Malaysia berhenti seketika bagi memberi laluan kepada jendela aksi antarabangsa, di mana skuad Harimau Malaya akan menghadapi dua perlawanan menentang Filipina dan Singapura hujung bulan ini.

Mengulas mengenai pasukan KL City, Stanley percaya anak didik Hodak akan tampil lebih bertenaga sebaik kempen Liga Super bersambung nanti.

"Ketika ini Romel Morales dah mula sertai latihan bersama pasukan selepas diketepikan ekoran kecederaan sebelum ini.

"Beberapa pemain juga yang cedera sebelum ini sudah pulih dan perkembangan ini amat baik. Kita yakin pasukan bakal lebih sedia apabila menentang JDT nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 5:40 PM