MBAPPE mengakui musim ini masih belum berakhir buat PSG. FOTO AFP
MBAPPE mengakui musim ini masih belum berakhir buat PSG. FOTO AFP
AFP

Paris: Penyerang Perancis Kylian Mbappe menegaskan pemain Paris Saint Germain (PSG) akan 'kekal bersatu sehingga perlawanan akhir musim ini' walaupun sekali lagi tersingkir di Liga Juara-Juara.

Buat kali keempat dalam enam musim PSG tersingkir dalam pusingan 16 terakhir, selepas tunduk kepada juara Eropah 13 kali Real Madrid semalam di Sepanyol.

PSG mendahului 2-0 secara agregat selepas jaringan Mbappe pada minit ke-39, pemain yang pernah menjulang Piala Dunia itu turut menjaringkan gol tunggal pada perlawanan pertama.

Selepas sejam kelab Paris itu kelihatan yakin untuk layak ke peringkat lapan terakhir, tetapi Karim Benzema mengubah kedudukannya dengan tiga gol dalam masa 17 minit untuk Real mencatat kemenangan 3-1 dan mara menerusi agregat 3-2.

"Masa yang sukar. Liga Juara-Juara adalah matlamat besar untuk kami, tetapi kami gagal.

"Musim ini belum berakhir dan apa pun yang berlaku kami akan kekal bersatu dan berazam sehingga perlawanan terakhir musim ini.

"Terima kasih kepada peminat yang menyokong kami dan yang melakukan perjalanan," kata Mbappe dalam Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 1:30 PM