AL Khelaifi (kanan) dikatakan berang dengan keputusan pengadil selepas mereka tumpas di tangan Real. FOTO AFP
AL Khelaifi (kanan) dikatakan berang dengan keputusan pengadil selepas mereka tumpas di tangan Real. FOTO AFP
AFP

Lausanne: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) akan membuka kertas siasatan tatatertib terhadap Presiden Paris Saint Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi dan pengarah sukan Leonardo selepas tindakan mereka menyerang bilik pengadil apabila kelab berkenaan tersingkir dalam saingan Liga Juara-Juara.

Prosedur itu berdasarkan peraturan UEFA yang membabitkan 'prinsip am kelakuan' serta 'salah tingkah laku pemain dan pegawai', kata seorang jurucakap kepada AFP.

PSG melepaskan peluang mendahului 2-0 semalam sebelum tumpas dengan agregat 3-2 di Santiago Bernabeu, di mana hatrik menakjubkan Karim Benzema pada separuh masa kedua menyebabkan kelab milik Qatar itu terkeluar dalam pusingan 16 terakhir.

Sumber mengesahkan Al Khelaifi dan Leonardo bergegas turun dari ruang tempat duduk mereka selepas wisel penamat dan Leonardo menghentak pintu bilik persalinan pengadil.

Mereka dipercayai tidak berpuas hati dengan gol pertama Benzema, apabila penjaga gol PSG Gianluigi Donnarumma tidak diberikan sepakan percuma, walaupun diasak oleh penyerang Real itu.

Jurulatih PSG, Mauricio Pochettino berkata dalam sidang media selepas perlawanan ia adalah 'kesalahan yang jelas' dan menyebabkan pemain merasakan 'tidak diberikan keadilan sewajarnya'.

Menurut akhbar Madrid, Marca, Al-Khelaifi malah menyerbu masuk ke bilik yang salah dan dibiarkan berdepan dengan delegasi perlawanan Real Madrid, Megia Davila.

"Beliau kemudiannya terpaksa dikeluarkan dengan keras dan beberapa orang terpaksa campur tangan," tambah Marca.

Ketegangan antara Real Madrid dan PSG semakin meningkat, dengan Real dijangka menandatangani penyerang bintang mereka Kylian Mbappe pada pertengahan tahun ini.

Mbappe setakat ini enggan menyambung kontraknya di kelab berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 11:29 AM