MBAPPE (kiri) menjalani latihan seperti biasa walaupun dikhabarkan dia mengalami kecederaan. FOTO AFP
MBAPPE (kiri) menjalani latihan seperti biasa walaupun dikhabarkan dia mengalami kecederaan. FOTO AFP
AFP

Madrid: Mauricio Pochettino berkata, Kylian Mbappe berada dalam keadaan baik dan mengharapkan tonggaknya itu dapat beraksi menentang Real Madrid di Liga Juara-Juara awal pagi esok walaupun dihimpit dengan kecederaan ketika sesi latihan.

Mbappe mengalami lebam ketika berlatih semalam, menimbulkan kegusaran bahawa dia bakal terlepas aksi kedua di Santiago Bernabeu, di mana Real harus bangkit selepas tumpas 0-1 untuk mara ke suku akhir.

Bagaimanapun, Paris St Germain (PSG) mengadakan sesi latihan terbuka di stadium pagi tadi dan Mbappe terbabit dengan berlatih seperti biasa.

"Dia berada dalam keadaan yang baik. Pada mulanya dia mengalami sedikit kesakitan namun beberapa jam selepas itu dia boleh berjalan seperti biasa.

"Secara teori, ya dia masih boleh beraksi namun semuanya akan diambil kira nanti," kata Pochettino dalam sidang media.

Tumpuan terarah kepada Mbappe minggu ini, apabila kontrak pemain berusia 23 tahun itu bersama PSG akan berakhir pertengahan tahun dan dia juga dijangka menyertai Real berbanding untuk menandatangani kontrak baru.

"Kylian adalah seorang pemain yang sangat matang dan apa yang dia mahukan hanyalah untuk bermain bola sepak, melakukannya dengan cara terbaik dan mempertahankan jersi pasukan diwakilinya.

"Prestasi Kylian tidak ada kena mengenai apa yang berlaku di luar," kata Pochettino.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 11:07 AM