SALAH (kanan) dan Firmino (tengah) bakal menyukarkan Inter. FOTO EPA
SALAH (kanan) dan Firmino (tengah) bakal menyukarkan Inter. FOTO EPA
Agensi

London: Rafa Benitez menjangkakan pertemuan antara Liverpool dan Inter Milan akan berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan bertemu di Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.

Liverpool akan berkunjung ke San Siro untuk aksi pertama pusingan 16 terakhir sebelum melayan kunjungan Inter pada awal Mac.

Reds mensasarkan untuk memenangi trofi berprestij itu buat kali ketujuh sekali gus menambah kejuaraan yang pernah dikecapi di bawah bimbingan Jurgen Klopp pada 2019 serta Benitez 14 tahun lalu.

Mereka adalah pasukan pilihan untuk menewaskan Inter sekali gus mara ke suku akhir namun Benitez menegaskan aksi kedua-dua pasukan dijangka berlangsung sengit.

Pengedali dari Sepanyol itu yang membimbing Liverpool bermula 2004 sehingga 2010 sebelum berhijrah ke Inter seketika percaya pasukan yang menguasai perlawanan akan memenangi perlawanan itu.

"Inter tidak mara ke pusingan kedua hanya disebabkan faktor nasib. Mereka adalah pasukan yang sentiasa tahu apa yang perlu dilakukan di atas padang dan tidak mensia-siakan peluang kelemahan pihak lawan.

"Formasi 3-5-2 diterapkan Simone Inzaghi (jurulatih Inter) boleh memberi kesukaran kepada pasukan yang jarang bertemu dengan mereka. Tapi Liverpool pula mungkin menggunakan formasi 4-3-3 yang mempamerkan aksi agresif dan intensiti tinggi," kata Benitez yang baharu dipecat selaku pengurus Everton kepada Corriere dello Sport.

Benitez juga berkata penyerang tiga serangkai Liverpool iaitu Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino bakal memberi masalah kepada Inter selain Diogo Jota.

"Jika saya membimbing Inter, saya bukan saja berwaspada dengan ketiga-tiga mereka, tetapi juga Diogo Jota kerana dia sentiasa berada di posisi tepat dan mampu menjaringkan gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 7:06 AM