Pemain Bayern Munich, Joshua Kimmich (kanan) dicabar pemain VfL Bochum pada aksi Bundesliga. FOTO Reuters
Pemain Bayern Munich, Joshua Kimmich (kanan) dicabar pemain VfL Bochum pada aksi Bundesliga. FOTO Reuters
AFP

Berlin: Pemain tengah Bayern Munich, Joshua Kimmich berkata pasukannya harus mempersoalkan mentaliti mereka selepas tewas mengejut 2-4 kepada pasukan kerdil, Bochum dalam aksi Bundesliga menjelang aksi menentang Red Bull Salzburg dalam saingan Liga Juara-Juara, Khamis ini.

Bayern melepaskan empat gol dalam babak pertama buat pertama kali pada perlawanan Bundesliga sejak 1975 ketika pasukan yang baharu dinaikkan pangkat ke liga utama Bochum melakar kemenangan bergaya untuk mengejutkan pasukan juara itu.

"Ini adalah persembahan terburuk kami musim ini. Kami perlu tanya pada diri sendiri sama ada inikah mentaliti yang ada di Bayern Munich," kata Kimmich kepada Sky.

"Nasib baik ia berlaku pada perlawanan di Bundesliga pada waktu ini tetapi kami mempunyai perlawanan Liga Juara-Juara Khamis ini," tambahnya.

Bayern tidak pernah tewas kepada Bochum sejak 2004 menjelang perlawanan itu dan menewaskan lawan 7-0 ketika kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu pada September.

Selepas Robert Lewandowski meledak gol pembukaan buat Bayern pada minit kesembilan ia kelihatan seperti aksi biasa buat juara bertahan itu.

Namun Bochum pantas menyamakan kedudukan menerusi Christopher Antwi-Adjei, diikuti menguasai perlawanan dalam tempoh 10 minit sebelum rehat separuh masa.

Juergen Locadia memberikan tuan rumah jaringan pendahuluan menerusi penalti selepas bola terkena tangan Dayot Upamecano dan menyebabkan Bayern beraksi dalam tekanan.

Cristian Gamboa merembat jaringan menarik dua minit kemudian sebelum jaringan jarak jauh Holtmann memastikan mereka mendahului selesa pada separuh masa pertama permainan.

"Jaringan pertama saya dalam Bundesliga dan ia hadir berdepan Bayern. Ia umpama mimpi!" kata Gamboa.

Lewandowski kembali merapatkan kedudukan menerusi jaringan pada babak kedua namun ia agak sukar untuk mengelak kekalahan keempat liga musim ini buat Bayern.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 8:52 AM