NAFUZI gembira dengan kembalinya Tchetche bersama pasukan TFC musim ini. FOTO Ihsan TFC
NAFUZI gembira dengan kembalinya Tchetche bersama pasukan TFC musim ini. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tidak menganggap kehadiran semula bekas penyerang skuad itu, Kipre Tchetche sebagai pelengkap kuota import pasukan.

Sebaliknya jurulatih kelahiran Kelantan itu yakin kehadiran pemain berpengalaman berusia 35 tahun itu mampu memperkuatkan jentera serangan skuad Penyu musim ini.

Malah beliau juga percaya penyerang kelahiran Ivory Coast itu masih lagi berbisa dan digeruni lawan walaupun semakin berumur selain melabel pemain itu antara penyerang terbaik dalam Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.

"Saya gembira dengan kembalinya penyerang, Tchetche bersama pasukan TFC musim ini selepas dua musim bersama pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

"Secara peribadi saya lihat pemain itu masih lagi penyerang berbisa dalam saingan Liga M walaupun kita tahu dia semakin berusia.

"Jika kita analisis dengan umurnya dia sebelum ini pun, penyudahnya lebih baik berbanding penyerang lebih muda daripadanya, lagipun kami sudah saling memahami corak permainan dan taktikal yang diterapkan, jadi ini sudah pasti memberi kelebihan dan memudahkan kami.

"Lebih-lebih lagi pemain itu sendiri sudi untuk kembali bersama pasukan TFC dan bermain dengan kami, jadi kami harapkan dia mampu memikul tugas di depan gol dengan lebih baik bagi memastikan misi pihak pengurusan musim ini tercapai," katanya.

Tchetche yang meledak 29 jaringan sepanjang 51 penampilan bersama TFC bermula pertengahan musim 2017 hingga 2019 dijangka bakal bergandingan dengan sahabatnya ketika bersama KDA FC, Kpah Sherman di posisi serangan.

Ketika menyarung jersi KDA FC bermula 2020 hingga musim lalu, bekas penyerang kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman itu menjaringkan 17 gol dalam 32 penampilan, ini membuktikan pemain itu masih lagi antara penyerang terbaik dalam Liga M.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 5:15 PM