Liridon Krasniqi
Liridon Krasniqi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui antara kesilapan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang cukup ketara adalah terburu-buru memberikan status naturalisasi kepada Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

Sambil mengakui dua pemain berkenaan adalah anak buahnya, namun memberikan status naturalisasi kepada De Paula dan Liridon tidak bersesuaian memandangkan khidmat mereka hanya boleh digunakan dalam tempoh yang singkat.

Malah, beliau turut mempersoalkan ejen yang mencadangkan nama dua pemain terbabit untuk dinaturalisasikan kepada FAM sebelum mereka diberikan kad biru untuk mewakili negara.

Katanya, pemain naturalisasi seharusnya pemain dalam lingkungan usia 27 tahun kerana boleh memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan untuk jangka masa panjang.

"Bagi saya satu kesilapan beri naturalisasi kepada De Paula dan Liridon kerana kalau nak bagilah kepada umur 27 atau 28 tahun.

"Saya pun tak tahu ejen mana yang recommend (cadangkan) kepada Hamidin (Datuk Hamidin Mohd Amin) atau FAM untuk dua pemain naturalisasi ini.

"ini pemain saya dan sokong sebagai pemain untuk pasukan saya… cuma sebagai naturalisasi De Paula dan Liridon adalah kurang tepat. Mungkin perancangan FAM untuk jangka masa pendek namun bagi saya jika mahu beri kewarganegaraan perlulah jangka masa panjang," katanya.

Sebelum ini, persiapan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe khususnya menjelang saingan Piala AFF di Singapura bulan lalu dilihat 'caca merba' apabila pasukan hanya sempat berlatih bersama skuad penuh selama dua hari sebelum terbang ke Kota Singa.

Malah, pasukan juga langsung tidak diuji dalam mana-mana perlawanan persahabatan, di mana kekangan utama adalah disebabkan perlawanan akhir Piala Malaysia yang hanya berakhir dua hari sebelum pasukan ke Singapura.

Akhirnya, pasukan negara gagal melepasi peringkat kumpulan Piala AFF yang kemudiannya menyaksikan Cheng Hoe mengundurkan diri selepas dikritik hebat oleh peminat bola sepak tanah air di atas kegagalan itu.

Malah, antara 'objek' serangan penyokong bola sepak tanah air adalah kelibat pemain naturalisasi seperti De Paula yang dilihat tidak banyak membantu pasukan kebangsaan meraih keputusan positif.

Mengikut rekod, ketika ini skuad Harimau Malaya mempunyai tiga pemain naturalisasi terdiri daripada Liridon, De Paula dan Mohamadou Sumareh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 2:45 PM