Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengalaman beraksi bersama kelab Saigon FC dalam Liga Vietnam musim lalu akan dimanfaatkan sebaik mungkin tonggak import baharu Terengganu FC (TFC), Pape Diakite untuk mengukuhkan benteng skuad itu dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain berketinggian 1.94 meter kelahiran Dakar, Senegal itu menjelaskan saingan Liga M dan Liga Vietnam tidak jauh bezanya dengan masing-masing mempunyai kualitinya yang tersendiri serta berintensiti tinggi.

"Walaupun musim pertama saya dalam saingan Liga M dan kejohanan belum lagi membuka tirainya, saya begitu gembira berada di sini dengan corak latihan yang begitu membantu saya bermula minggu pertama lagi.

"Malah semua pemain di sini juga mengalukan-alukan kehadiran saya, begitu juga dengan barisan jurulatih serta pihak pengurusan, ianya bagaikan satu keluarga baharu buat saya.

"Justeru dengan pengalaman saya sebelum ini beraksi dalam Liga Vietnam, saya akan mencurahkan segala kemahiran yang ada untuk membantu pasukan TFC mencapai sasaran yang ditetapkan," kata pemain beragama Islam itu ketika ditemui selepas sesi latihan di Padang C Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di Gong Badak, semalam.

Ketika ditanya adakah dia tertekan dengan harapan yang tinggi disandarkan kepada pemain terutama misi pasukan memburu sekurang-kurangnya satu piala musim ini, pertahanan tengah itu menafikannya sebaliknya menjelaskan dia sudah bersedia untuk mengharungi saingan liga.

DIAKITE (dua kiri) semasa sesi latihan di Padang C, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
DIAKITE (dua kiri) semasa sesi latihan di Padang C, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak. FOTO Ghazali Kori

"Bagi saya tidak ada tekanan di sini, kerana sebagai pemain profesional, sudah tentu persediaan daripada segi fizikal dan mental perlu tinggi apabila diberi harapan oleh pihak pengurusan.

"Lagipun saya tahu TFC sebuah pasukan yang kuat dan selalu berada dalam kelompok empat pasukan terbaik Liga Super dan sudah pasti ianya satu cabaran besar buat saya serta rakan sepasukan dalam mengharungi saingan Liga M," katanya yang mengakui prestasi baik skuad TFC musim lalu mendorong dia meninggalkan kelab dalam Liga Vietnam itu.

Pemain berusia 30 tahun itu yang memulakan kariernya bersama kelab Association Sportive et Culturelle HLM dalam Liga Senegal pada 2011 tidak asing lagi beraksi di rantau Asean.

Selain kelab Saigon FC, pemain yang bakal memakai jersi bernombor 44 itu pernah beraksi bersama kelab Ho Chi Minh City juga dalam Liga Vietnam pada tahun 2020 dan Police Tero dalam Liga Thailand pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 2:35 PM