SATHIANATHAN berkata bekas jurulatih Hong Kong itu seorang yang tegas dan amat teliti dalam semua urusan kerjanya. FOTO NSTP
SATHIANATHAN berkata bekas jurulatih Hong Kong itu seorang yang tegas dan amat teliti dalam semua urusan kerjanya. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tegas dan cukup bersistematik ketika mengendalikan latihan antara karektor yang ada pada pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon yang bakal membuatkan pemain-pemain tempatan 'kecut perut' dalam kem latihan yang dijangka pada bulan Mac nanti.

Menurut bekas jurulatih kebangsaan, B Sathianathan, beliau dan Pan Gon adalah rakan lama yang sering bertemu dalam kursus-kursus kejurulatihan termasuk ketika sama-sama mengambil Lesen Pro A pada 2004 lalu.

Katanya, bekas jurulatih Hong Kong itu seorang yang tegas dan amat teliti dalam semua urusan kerjanya.

"Kami banyak kali berjumpa termasuk ketika buat lesen pro kejurulatihan di banyak tempat di Jerman, di Korea dan ada juga di Kuala Lumpur.

"Kali terakhir saya jumpanya masa Malaysia lawan dengan Hong Kong di sini pada 2017 dan beliau memang jurulatih yang baik.

"Biasanya jurulatih dari Korea Selatan ini memang tegas dan Pan Gon juga ada karektor yang sama, di mana beliau mahukan yang terbaik ketika berlatih dan dalam perlawanan.

"Saya rasa ini yang FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mahukan seorang jurulatih yang tegas bagi menyuntik disiplin tinggi dalam permainan pasukan negara selepas ini," katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, Sathianathan berharap seorang jurulatih tempatan turut diletakkan dalam sistem kejurulatihan pasukan agar Pan Gon mudah untuk cepat menyesuaikan diri dengan senario bola sepak di negara ini.

"Beliau tegas dan sebab itu perlu ada seorang jurulatih tempatan yang berkelayakan untuk membantu beliau. Memang dari segi budaya negara ini beliau tidak ada masalah sebab kerap ke mari.

"Kejayaan beliau bawa Hong Kong juga membuktikan dirinya tidak mempunyai masalah dengan budaya bola sepak Korea yang berbeza dengan Hong Kong. Di Malaysia pun beliau boleh sesuaikan diri namun dengan adanya jurulatih tempatan, lagi memudahkan tugasnya nanti," katanya.

Pan Gon, 53, dilantik membimbing skuad negara dengan kontrak dua tahun bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya awal bulan ini susulan kegagalan di Piala AFF di Singapura bulan lalu.

Untuk rekod, beliau akan turut dibantu empat pegawai dari Korea Selatan bagi membantunya terdiri daripada penolong jurulatih, jurulatih penjaga gol, pembantu teknikal dan penganalisis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 10:29 PM