RUMAH Benzema diceroboh ketika dia sedang beraksi menentang Elche. FOTO Agensi
RUMAH Benzema diceroboh ketika dia sedang beraksi menentang Elche. FOTO Agensi
AFP

Madrid: Rumah Karim Benzema dipecah masuk ketika penyerang Perancis itu beraksi dengan Real Madrid menentang Elche.

Benzema, yang gagal menyempurnakan penalti dan dikeluarkan akibat kecederaan di Santiago Bernabeu, mendapati rumahnya berada dalam keadaan berselerak selepas pulang daripada perlawanan berkenaan.

Bagaimanapun, dia masih belum pasti sama ada terdapat barang yang dibawa lari.

"Pemain berkenaan menyedari apa yang berlaku selepas pulang ke rumah sebaik tamat perlawanan dan mendapati rumahnya berada dalam keadaan kucar-kacir," kata sumber.

Benzema tinggal di bandar San Sebastian de los Reyes, di utara Madrid.

Penceroboh berkenaan dipercayai melompat masuk melalui pagar rumahnya sebelum memecahkan tingkap.

Pemain berusia 34 tahun itu adalah mangsa terbaru pemain bola sepak di Sepanyol yang menyaksikan rumah mereka dipecah masuk ketika beraksi bersama pasukan masing-masing, walaupun polis berusaha menangani masalah itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Polis di Sepanyol mengumumkan pada 2019 mereka berjaya membongkar sindiket kecurian yang secara khusus merancang pencerobohan ke atas rumah pemain bola sepak Atletico Madrid dan Real Madrid.

Pemain tengah Real Madrid, Casemiro dan Thomas Partey dari Atletico, sekarang beraksi bersama Arsenal, adalah antara yang menjadi sasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 8:45 PM