FIRDAUS berkata pihaknya tidak mahu mengambil risiko dengan menangguhkan dua pertandingan itu ke bulan Mei kerana bimbang situasi Covid-19 yang tidak menentu. FOTO Ihsan FAM
FIRDAUS berkata pihaknya tidak mahu mengambil risiko dengan menangguhkan dua pertandingan itu ke bulan Mei kerana bimbang situasi Covid-19 yang tidak menentu. FOTO Ihsan FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap akan meneruskan saingan Piala Presiden dan Piala Belia 2022 mengikut jadual asal bermula 23 Februari ini selepas dua tahun tidak dilangsungkan ekoran pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM Mohd Firdaus Mohamed berkata, beliau memahami kekangan yang dihadapi beberapa pihak terutama sebilangan kecil pemain yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 3 Mac depan.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu mengambil risiko dengan menangguhkan dua pertandingan itu ke bulan Mei kerana bimbang situasi Covid-19 yang tidak menentu ketika ini boleh memberi kesan kepada perjalanan kempen Piala Presiden dan Piala Belia musim ini.

"Terdapat dua ke tiga pasukan yang memohon menangguhkan Piala Belia kerana ada beberapa pemain yang akan menduduki SPM pada Mac ini.

"Saya tidak boleh tangguhkan lagi kerana kita bimbang senario semasa Covid-19 yang tidak menentu di dalam negara ketika ini. Selepas dua tahun tak dapat dijalankan, inilah kesempatan untuk kita lihat pemain muda bermain semula.

"Dua pertandingan itu penting buat FAM bagi merancakkan semula dan memperkasakan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi." katanya yang juga Naib Presiden FAM.

Terdahulu, kancah Piala Presiden yang membabitkan persaingan B-21 dan Piala Belia B-19 kembali merancakkan arena bola sepak tempatan selepas dua musim tidak dianjurkan ekoran pandemik yang menyerang dunia sejak awal tahun 2020.

Mengulas lanjut, Firdaus yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia memaklumkan, bagi memastikan saingan peringkat pembangunan itu berada pada tahap kompetitif yang tinggi, pihaknya sedia menambah bilangan pasukan bertanding mengikut zon.

"Kita boleh tambah pasukan mengikut kesesuaian dan kesediaan pasukan itu. Mungkin boleh tambah hingga 30 pasukan atau 40 pasukan nanti dan ia boleh dipertimbangkan," katanya.

Sebelum ini, pada 11 Januari lalu, berlangsung undian saingan Piala Presiden dan Piala Belia 2022 yang membabitkan sejumlah 20 pasukan bagi kedua-dua pertandingan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 8:19 PM