Pemain Tottenham Hotspur, Steven Bergwijn (kiri) meraikan jaringan ketika berdepan Leicester pada aksi Liga Perdana. FOTO Reuters
Pemain Tottenham Hotspur, Steven Bergwijn (kiri) meraikan jaringan ketika berdepan Leicester pada aksi Liga Perdana. FOTO Reuters
AFP

Leicester, United Kingdom: Antonio Conte berkata dia melihat semangat yang diharapkan di Tottenham selepas Steven Bergwijn meledak dua gol pada minit akhir perlawanan untuk mencatat kemenangan dramatik menewaskan Leicester, 3-2, pagi ini.

The Foxes seakan sudah memperoleh kemenangan ke atas lawan ketika Patson Daka dan James Maddison meledak gol awal dalam setiap babak sementara Harry Kane menyamakan kedudukan pada babak pertama untuk Spurs.

Bagaimanapun, Bergwijn, yang belum menjaringkan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris setakat musim ini, dimasukkan dari bangku simpanan untuk mengubah tempoh perlawanan dan memastikan kemenangan di penghujung babak permainan.

Sekalipun skuad kendalian Conte mengalami kekalahan pertama sejak mengambil alih pasukan pada November, kemenangan membolehkan Spurs berada di atas seteru utara London, Arsenal di tempat kelima dan hanya satu mata dibezakan dengan pasukan tempat keempat West Ham serta memilik kelebihan tiga perlawanan dalam tangan.

"Saya fikir kami menunjukkan hari ini bahawa kami tidak mahu putus asa. Tidak pernah," kata pengendali dari Itali itu.

"Pemain sangat mengetahui falsafah yang harus kami ada. Kami harus berjuang hingga penamat dan cuba mendapatkan keputusan."

Perlawanan terpaksa dijadualkan semula di Leicester selepas pasukan itu tidak dapat menyediakan pemain yang mencukupi pada Disember berikutan penularan kes Covid-19 dan berdepan masalah kecederaan pemain.

Skuad kendalian Brendan Rodgers beraksi tanpa empat pemain utama yang menyertai Piala Negara Afrika selain berdepan senarai kecederaan yang panjang namun kemenangan kedua di tempat lawan sahaja boleh menghidupkan peluang mereka beraksi di saingan bola sepak Eropah musim depan.

"Ia adalah peluang terbaik malam ini, tetapi kami gagal memanfaatkannya," kata Rodgers.

"Saya tak fikir Tottenham memenangi perlawanan, kami yang menghadiahkan mereka tiga mata."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 7:01 AM