ANTARA aksi Arsenal bertemu Liverpool pada separuh akhir pertama Piala Liga. FOTO EPA
ANTARA aksi Arsenal bertemu Liverpool pada separuh akhir pertama Piala Liga. FOTO EPA
AFP

London: Arsenal meminta Liga Perdana menangguhkan pertemuan dengan Tottenham Hotspur di tempat lawan tengah malam Isnin ini berikutan penularan kes Covid-19, masalah kecederaan serta komitmen pemain di saingan Piala Negara-Negara Afrika (Afcon).

Martin Odegaard tidak dapat beraksi ketika seri tanpa jaringan bertemu Liverpool pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga kerana dijangkiti Covid-19 manakala Emile Smith Rowe dan Takehiro Tomiyasu diketepikan kerana kecederaan.

Cedric Soares dan Bukayo Saka mengalami kecederaan di Anfield yang menyaksikan Granit Xhaka dibuang padang.

Arsenal juga tidak dapat menggunakan khidmat Thomas Partey, Mohamed Elneny, Nicolas Pepe dan Pierre-Emerick Aubameyang yang beraksi bersama pasukan kebangsaan masing-masing di Afcon.

"Kami mengesahkan yang kami mengemukakan permohonan kepada Liga Perdana untuk menangguhkan pertemuan dengan Tottenham Hotspur.

"Kami terpaksa mengambil langkah ini tetapi kami memang tidak mempunyai barisan pemain kerana Covid-19, kecederaan dan pemain beraksi bersama negara masing-masing di Afcon," kata Arsenal dalam satu kenyataan.

Terdahulu, pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata, beliau tidak pasti sama ada perlawanan itu akan diteruskan atau tidak.

"Saya tak tahu, sukar untuk memperkatakannya kerana kami memang tiada pemain," katanya ketika ditanya adakah beliau mahu perlaawanan itu ditangguhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 8:56 AM