CONTE (kiri) berkata sesuatu kepada Harry Kane. FOTO Agensi
CONTE (kiri) berkata sesuatu kepada Harry Kane. FOTO Agensi
Agensi

London: Pengurus Tottenham, Antonio Conte berkata 'banyak kerja yang perlu dilakukan' di kelab itu selepas mereka tewas kepada Chelsea pada separuh akhir pertama Piala Liga, hari ini.

Spurs tewas 0-2 di Stamford Bridge hasil jaringan Kai Havertz dan gol sendiri Ben Davies namun mereka sememangnya tidak dapat menandingi Chelsea.

Pengendali dari Itali itu berkata, prestasi semasa menunjukkan betapa jauhnya Tottenham berbanding seteru utama London itu.

"Amat penting untuk terus bersabar, begitu juga dengan saya," kata Conte.

Beliau menambah: "Banyak kerja yang perlu dilakukan pada masa ini. Ia amat sukar untuk memahami di bahagian mana anda perlu perbaiki kerana banyak perkara yang sememangnya perlu diperbaiki.

"Kami memerlukan masa dan bersabar. Setiap orang harus bersabar kerana Tottenham sejak tahun lalu sudah mengalami penurunan prestasi. Kini kami harus kembali bersaing dan memenangi setiap perlawanan."

Conte bakal mengadakan perbincangan dengan pengerusi Daniel Levy mengenai sasaran untuk mendapatkan pemain baru namun menegaskan adalah mustahil untuk mengubah situasi jika hanya memperoleh satu atau dua pemain baru.

"Kami perlu merendah diri, memahami situasi pada masa ini dan terus berusaha untuk meningkatkan pemain kami," katanya kepada Sky Sports.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 10:14 AM