HUGO Lloris. FOTO EPA
HUGO Lloris. FOTO EPA
AFP

London: Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte menjangkakan Hugo Lloris akan kekal bersama kelab London itu.

Kontrak penjaga gol Perancis itu akan berakhir hujung musim ini dan kapten Spurs itu akan dibenarkan untuk mengadakan perbincangan dengan kelab lain mengenai perpindahan secara percuma.

Penjaga gol berusia 35 tahun itu tiba di kelab Utara London dari Lyon pada Ogos 2012 dan Conte yakin Lloris akan kekal bersama Spurs.

"Hugo adalah pemain Tottenham dan seorang kapten. Sudah pasti dia akan mengadakan perbincangan dengan kelab untuk mendapatkan jalan penyelesaian.

"Saya rasa Hugo mahu kekal bersama kelab ini kerana dia menyayangi kelab ini dan berada dalam keadaan baik di Tottenham," katanya.

Conte juga mempertahankan Harry Winks apabila menyatakan pemain tengah itu akan kekal di Spurs meskipun jendela perpindahan pemain akan di buka dua hari lagi.

Winks diketepikan ketika di bawah bimbingan bekas pengurus, Nuno Espirito Santo tetapi kembali membarisi pasukan utama sejak Conte membimbing kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 8:15 AM