ERLING Haaland. FOTO AFP
ERLING Haaland. FOTO AFP
AFP

Berlin: Erling Haaland adalah antara pemain paling hangat di pentas bola sepak Eropah dan kelabnya di Bundesliga, Borussia Dortmund sudah bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk kehilangan khidmat penyerang itu pada 2022.

Pemain berusia 21 tahun itu sudah menjaringkan 76 gol sepanjang 75 penampilan bersama Dortmund sejak tiba dari Red Bull Salzburg pada Januari 2020.

Klausa pelepasan dalam kontraknya bersama Dortmund adalah sehingga 2024 sekali gus menyaksikan Haaland boleh meninggalkan kelab itu pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Dortmund, Hans-Joachim Watzke mahu mengetahui lebih lanjut apakah perancangan seterusnya ejen pemain itu, Mino Raiola.

"Kami akan mengadakan perbincangan dalam tempoh beberapa minggu lagi. Kami akan memastikan tidak perlu menunggu sehingga Mac atau April untuk mengetahui keputusannya," kata Watzke awal bulan ini.

Pada Mac lalu, Haaland muncul pemain paling terpantas meraih 20 gol di Liga Juara-Juara hanya selepas mengharungi 14 perlawanan.

Secara perbandingan, Cristiano Ronaldo memerlukan 56 perlawanan Liga Juara-Juara untuk meraih pencapaian sama. Lionel Messi pula perlu mengharungi 40 perlawanan.

Pada usia sama dengan Haaland, Ronaldo yang juga pemegang rekod penjaring gol terbanyak di Liga Juara-Juara dengan 140 gol, masih belum dapat menjaringkan gol di pentas Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 1:26 PM