Edinson Cavani meraikan jaringan berdepan Newcastle United. FOTO EPA
Edinson Cavani meraikan jaringan berdepan Newcastle United. FOTO EPA
AFP

Newcastle, United Kingdom: Ralf Rangnick mendakwa pemain bintang Manchester United kurang agresif selepas Edinson Cavani menyelamatkan mereka untuk seri 1-1 berdepan pasukan bergelut dalam liga, Newcastle, pagi ini.

Skuad kendalian Rangnick dikejutkan dengan gol awal Allan Saint-Maximin dan tenggelam sepanjang babak perlawanan di St James' Park.

Cavani dimasukkan dari bangku simpanan untuk meledak gol pertama sejak Oktober pada babak kedua bagi memastikan Rangnick tidak mengalami kekalahan pertama dalam empat perlawanan sebagai pengendali sementara United.

Namun United kekal di tangga ketujuh dalam carta Liga Perdana Inggeris, tujuh mata di belakang pasukan di tempat keempat Arsenal serta mempunyai kelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Rangnick berjaya memenangi satu daripada dua perlawanan awal liga sejak mengambil alih pasukan daripada Ole Gunnar Solskjaer yang dipecat namun tiada aksi istimewa yang meyakinkan dan memuaskan hatinya.

"Saya tidak gemar persembahan keseluruhan. Kami tidak menguasai perlawanan. Ia mengenai kekuatan, fizikal dan siapa yang memenangi persaingan. Dalam semua sudut kami tidak berada pada tahap terbaik," kata Rangnick.

"Kami harus memenangi saingan dalam perlawanan. Hari ini bukan persoalan mengenai gerak badan, ia persoalan mengenai fizikal badan.

"Jika kami mahu bersaing kami harus bersedia dengan fizikal dan perkara ini perlu dipandang serius dalam setiap perlawanan."

United berdepan masalah Covid-19 yang memaksa mereka tidak beraksi dalam tempoh 16 hari sejak menang 1-0 di Norwich pada 11 Disember lalu.

Aksi mereka menentang Brentford dan Brighton ditangguhkan dengan padang latihan kelab itu ditutup empat hari.

Bagaimanapun, disebalik isu penularan wabak itu Rangnick berharap United akan kembali meningkatkan prestasi jika mahu menamatkan saingan di kedudukan empat teratas liga.

"Kami harus beraksi lebih baik dan bersedia dari segi fizikal," katanya.

"Kami tidak harus mencari alasan. Kami harus memenuhi keperluan dari segi kepantasan, tempo dan rentak."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 7:32 AM