GUARDIOLA (kiri) hormati Leicester. FOTO AFP
GUARDIOLA (kiri) hormati Leicester. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya Leicester akan memberikan cabaran sengit kepada pendahulu Liga Perdana itu meskipun berdepan prestasi merosot ketika ini.

Juara bertahan Piala FA, Leicester hanya memenangi enam daripada 16 perlawanan terakhir mereka di Liga Perdana Inggeris.

Manakala juara bertahan, City memenangi kesemua lapan perlawanan terakhir liga untuk mempunyai kelebihan tiga mata di tangga teratas liga menjelang aksi di tempat sendiri bertemu Leicester awal pagi Ahad.

Guardiola yang menyaksikan pasukannya menang 1-0 dekat Foxes pada September lalu berkata: "Leicester kekal Leicester. Bagi saya, mereka adalah pasukan yang bagus dengan mempunyai pengurus dan pemain terbaik di setiap posisi.

"Tapi kadangkala dalam tempoh semusim ada prestasi naik dan turun. Mungkin kita selalu melihat Leicester berada di atas."

Guardiola turut memuji pengurus Leicester, Brendan Rodgers apabila berkata: "Dia berjaya membentuk pasukan dengan baik dengan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi.

"Tapi kadangkala terdapat tempoh tidak konsisten. Ia boleh berlaku tetapi apabila anda melihat kualiti yang ada pada mereka, apa saja boleh berlaku."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 8:59 PM