BIELSA tidak fikir akan meninggalkan pasukan walaupun mencatat kekalahan teruk 0-7 ketika menentang City. FOTO EPA
BIELSA tidak fikir akan meninggalkan pasukan walaupun mencatat kekalahan teruk 0-7 ketika menentang City. FOTO EPA
AFP

London: Pengurus Leeds, Marcelo Bielsa berjanji tidak akan meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berdepan masalah itu namun mengakui jawatannya berdepan bahaya untuk dipecat selepas persembahan hambar.

Pasukan bimbingan Bielsa sekarang ini hanya lima mata dipisahkan dengan zon penyingkiran selepas mencatat kekalahan memalukan 0-7 ketika menentang Manchester City kelmarin.

Ia mengulangi kekalahan terbesar pernah dicatatkan Leeds dalam sejarah EPL dan menimbulkan desas-desus bahawa beliau akan meninggalkan Elland Road sebelum berkemungkinan dipecat.

Leeds hanya memenangi tiga perlawanan liga musim ini berbeza dengan aksi terpuji dengan menduduki tempat kesembilan dalam kepulangan semula ke EPL pada musim 2020/21.

"Adakah anda rasa ada jurulatih yang tidak boleh dipecat? Adakah anda fikir saya akan pergi bagi membolehkan saya tidak dipecat?

"Adakah anda rasa selepas kekalahan 0-7 saya boleh mengetepikan ketidakstabilan itu? Sudah tentu jawatan jurulatih adalah tidak stabil. Saya tidak mempunyai apa-apa untuk membuatkan saya kebal," katanya.

Pengendali berusia 66 tahun itu, yang menjadi tunjang kebangkitan Leeds kembali ke EPL selepas 16 tahun, tidak berniat meninggalkan pasukannya di tengah-tengah pertempuran untuk mengelak daripada tersingkir.

"Sudah tentu saya akan meneruskan perjuangan sehingga hujung musim. Saya sentiasa memikirkan dalam kesusahan anda harus berjuang.

"Saya akan terus berjuang sehingga hujung musim tanpa kesangsian. Saya harap tidak ada apa yang berlaku sehingga merencatkan apa yang saya katakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 8:26 AM