MBAPPE ledak dua gol ketika PSG menumpaskan Monaco. FOTO EPA
MBAPPE ledak dua gol ketika PSG menumpaskan Monaco. FOTO EPA
AFP

Paris: Kylian Mbappe meledak gol ke-100 bersama Paris Saint Germain (PSG) untuk membantu kelab itu menang 2-0 mengatasi bekas pasukannya, Monaco di Parc des Princes pagi tadi.

Mbappe membuka jaringan menerusi penalti di awal perlawanan dan meledak gol kedua sebelum tamat babak pertama selepas menerima hantaran Lionel Messi bagi gol ke-100 dalam liga utama Perancis sejak berpindah ke PSG pada 2017.

Penyerang antarabangsa Perancis itu pernah menyumbang 16 gol dalam saingan liga ketika bersama Monaco pada permulaan kariernya.

Kemenangan itu membolehkan PSG melebarkan kelebihan di persada Ligue 1 dengan kelebihan 13 mata mengatasi Marseille, yang menang 2-0 di Strasbourg dan masih memiliki baki satu perlawanan.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino mencipta kemenangan dalam suasana kurang ceria di Parc des Princes, dengan satu bahagian di stadium ditutup kerana hukuman penyokong kelab yang menyalakan suar dalam perlawanan sebelum ini.

"Ia persembahan profesional dan kami berhak menang. Kylian sekali lagi menakjubkan.

"Kami sangat gembira dengan keputusan dicapai, tapi kami masih boleh meningkatkan persembahan," kata Pochettino.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 10:52 AM